Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Hampir 30 juta orang terjejas akibat Siklon Remal

    DHAKA, 28 MEI – Ribut tropika Remal yang semakin lemah membanjiri berpuluh-puluh kampung pantai dan menyebabkan hampir 30 juta orang terputus bekalan elektrik kelmarin, di selatan Bangladesh dan timur India. Sekurang-kurangnya 10 orang maut di Bangladesh.

    Kira-kira 3.7 juta orang di sepanjang pantai terjejas, kata menteri rendah pengurusan bencana dan bantuan Bangladesh, Mohibbur Rahman. Lebih 35,000 rumah musnah dan hampir 115,000 rosak. Hampir 800,000 orang telah dipindahkan dari kawasan terdedah pada hari Ahad.

    Bangladesh, sebuah negara delta dengan hampir 170 juta penduduk, mempunyai sejarah ribut ganas. Program kesiapsiagaan bencana telah meningkatkan kapasiti untuk menangani bencana alam, mengakibatkan kurang korban jiwa. Perubahan corak iklim telah meningkatkan keamatan ribut, menjadikan persiapan lebih mendesak.

    Remal lemah selepas mendarat di daerah Patuakhali di Bangladesh awal kelmarin, dengan angin berkelajuan 111 kilometer (69 batu) sejam. Jabatan Meteorologi India berkata ia berkemungkinan lemah sepanjang hari, tetapi memberi amaran hujan lebat di Assam dan negeri timur laut lain untuk dua hari akan datang.

    Lapangan terbang Kolkata India dibuka semula selepas ditutup pada hari Ahad. Bangladesh menutup lapangan terbang di bandar kedua terbesar di negara itu, Chattogram, dan membatalkan semua penerbangan domestik ke dan dari daerah pantai Cox’s Bazar. Memuat dan memunggah di pelabuhan Chittagong telah dihentikan.

    Hujan lebat dan angin melanda ibu kota Bangladesh, Dhaka. Banyak jalan raya ditenggelami air. Pihak berkuasa mengarahkan semua pegawai kerajaan tinggal di balai mereka sehingga keadaan bertambah baik.

    Agensi bantuan berkata mereka mengerahkan ribuan sukarelawan di kem pelarian Rohingya dan kawasan lain yang terjejas untuk memberikan bantuan kecemasan. Bangladesh mempunyai kem yang luas menempatkan lebih 1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar di Cox’s Bazar.

    Di negeri Bengal Barat di India, atap jerami di rumah diterbangkan dan tiang elektrik serta pokok tumbang di beberapa daerah pantai. Hujan lebat menenggelamkan jalan dan rumah di kawasan rendah Kolkata. Semua sekolah di rantau itu ditutup sehingga diberitahu kelak. – AP

    Kenderaan bergerak melalui jalan berair di Kolkata, India, ketika hujan berterusan selepas taufan Remal mendarat berhampiran sempadan Bangladesh-India, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...