Spekulasi bertebaran bagaikan ‘angin kencang’ sebaik bintang jelita, Hannah Delisha, 27, dan rakan-rakan artis lain meninggalkan syarikat pengurusan, baru-baru ini.
Lebih menimbulkan persoalan apabila Hannah bersama Sharnaaz Ahmad, Aiman Hakim Ridza dan isterinya, Zahirah MacWilson meninggalkan Prodigy Syndrome Management secara berjemaah dan mengumumkan tidak lagi berpayung di bawah syarikat pengurusan menerusi media sosial serentak.
Tindakan meninggalkan syarikat pengurusan serentak pada Ogos lalu seolah-olah memberi gambaran berlaku persengketaan besar sehingga timbul spekulasi mereka tidak berpuas hati dengan soal bayaran.
Jika tidak masakan nekad bintang-bintang popular di kaca televisyen itu mengambil keputusan tekad keluar beramai-ramai.
Bertemu Hannah dalam satu majlis baru-baru ini, persoalan itulah yang diajukan kepada si empunya diri.

Enggan menuding jari pada sesiapa, aktres kelahiran Singapura itu menafikan spekulasi tidak enak yang tersebar.
Hannah berkata, keputusan untuk keluar daripada syarikat pengurusan dibuat atas persetujuan bersama.
“Kami tidak pernah bersengketa, jauh sekali nak berbalah. Cerita yang sebenarnya adalah syarikat pengurusan berhasrat memberhentikan operasi.
“Jadi, saya dan rakan artis lain putuskan untuk mengumumkan berita ini dalam media sosial.
“Tujuan untuk memaklumkan kepada semua pihak yang ada kaitan dengan kerjaya seni kami.
“Kami sudah tidak bernaung di bawah syarikat pengurusan berkenaan. Ini juga untuk memudahkan tugas kedua-dua pihak dan kami juga tidak mahu terlepas peluang projek pada masa akan datang,” katanya kepada BH Online.
Mengulas dakwaan wujudnya perselisihan faham, pelakon filem Langsuir itu menepis tanggapan itu.
“Hubungan saya dan pengurus masih baik. Sesekali saya ada juga hubungi bertanya khabar. – Agensi