Sunday, December 1, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hanya 2 alat sukatan gagal patuhi akta

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Dua unit daripada lapan unit alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi tujuan perniagaan didapati gagal mematuhi Akta Suktan dan Timbangan 1983 Penggal 151 oleh Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) dalam pemeriksaan bersepadu bulanan bagi Februari 2023.

    Pemeriksaan bersepadu berkenaan dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi di premis-premis perniagaan dan tamu di Pekan Bangar, Kampung Rataie dan Kampung Puni, Daerah Temburong.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, hasil pemeriksaan bersepadu itu, JPES telah mendapati premis-premis perniagaan mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142. Pada masa yang sama, para peniaga juga disarankan untuk sentiasa menyemak dan mengemaskinikan harga khususnya bagi barangan yang dikawal harga.

    Di samping itu, para peniaga yang menjalankan perniagaan di tamu juga telah diberikan penerangan untuk sentiasa mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang dijual.

    Sementara itu, Unit SDT telah mengeluarkan dua Notis Penyitaan ke atas dua buah syarikat di mana pemilik syarikat dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu berkenaan.

    Alat sukatan dan timbangan milik syarikat yang telah dikeluarkan Notis Penyitaan turut disita dan selain itu, Unit SDT juga mendapati tiga buah syarikat perniagaan gagal mempamerkan tanda berat bersih ke atas produk-produk berbungkus.

    Pemeriksaan bersepadu bulanan itu merupakan kerjasama penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan antara JPES dan Unit SDT dalam usaha untuk memupuk kepatuhan terhadap undang-undang di bawah kawal seliaan JPES dan Unit SDT iaitu Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Para penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan di Daerah Temburong. – Gambar serahan JPES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda