BAGHDAD – Menjelang tahun baharu, penduduk di Mosul, utara Iraq, ingin menjadikan kehidupan mereka lebih baik pada tahun 2020.
Dua tahun selepas Iraq mengisytiharkan pembebasan penuh bandar raya daripada Islamic State (IS), kehidupan di sana semakin pulih seperti sebelumnya secara beransur-ansur.
Seorang pemotong daging berumur 44 tahun, Ali Saadi berkata dia perlu untuk bekerja keras pada tahun 2020 untuk memenuhi hajatnya.
“Azam saya untuk tahun baharu ini adalah untuk membina semula rumah saya yang musnah dan melihat anak perempuan saya yang berumur 17 tahun dapat berjalan semula selepas mengalami kecederaan semasa peperangan tersebut,” kata Saadi, yang berdiri berdekatan rumahnya yang sedang dibangunkan semula di kawasan kejiranan lamanya di bandar barat Mosul.
Saadi juga berharap kejiranannya yang lama dapat dibina semula dan jiran-jirannya boleh kembali ke rumah mereka semula untuk tinggal bersama-sama sebagaimana nenek moyang mereka telah melakukan selama beratus-ratus tahun sebelumnya.


– Xinhua

Di salah sebuah bandar tertua yang musnah akibat peperangan ini, Bashar Hazim, 40, berkata, “Azam saya pada tahun baharu ini untuk melihat kehidupan yang berkembang seperti sebelumnya di Mosul, terutamanya di pasar bersejarah kami dan semua rumah yang berada di tengah-tengah kota lama tersebut, yang melambangkan kebudayaan dan identiti penduduk Mosul.”
Di sebuah pasar lama al-Attareen, yang kini sedang dibina semula dalam tempoh tiga bulan yang lalu, pemilik restoran, Hashim Walid berkata, “Pasar raya tersebut kini sedang dibersihkan dan sedang dalam proses untuk dibangunkan semula untuk kegunaan penduduknya.”
Walid telah meninggalkan restorannya akibat peperangan.
Sebuah rumah di kota tua yang runtuh akibat peperangan tersebut, Firas Sabah memberitahu Xinhua, dia berharap anak perempuannya yang berumur sembilan tahun, Zainab boleh sembuh selepas mengalami kecederaan di tulang belakang akibat terkena serpihan bom semasa peperangan tersebut.
“Anak perempuan saya tidak boleh bergerak, dan saya berharap dia boleh mendapat rawatan dan kembali sihat seperti sebelumnya,” kata Sabah.
Dia juga berharap orang ramai di pusat kota lama tersebut dapat menikmati semula kehidupan mereka selepas berdepan dengan penderitaan semasa penawanan kumpulan IS dan pertempuran bagi membebaskan kota Mosul.
“Ramai orang terbunuh dan cedera,” kata Sabah. “Banyak penduduk tinggal di khemah pelarian dan mereka merasa letih.”
Mosul, kira-kira 400 kilometer di utara ibu kota Iraq, Baghdad, menyaksikan salah satu pertempuran sengit ketika para pelampau IS bersembunyi di lorong-lorong sempit pusat bandar lama itu, di mana mereka menghancurkan bangunan dan menanam banyak bom di pinggir jalan.
Pada Julai 2017, kerajaan Iraq mengumumkan pembebasan kota yang mempunyai ramai penduduk selepas hampir sembilan bulan melakukan pertempuran yang sengit dan pengeboman yang dahsyat.
Pertempuran tersebut telah membunuh beribu-ribu orang dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran di bandar tersebut, menurut kerajaan wilayah. Walau bagaimanapun, penduduk di Mosul tidak pernah kehilangan harapan untuk membina semula rumah mereka sebelumnya.
Pakar-pakar Iraq menganggarkan bahawa Mosul memerlukan lebih AS$50 bilion bagi pembinaan semula untuk mengembalikan penduduk Mosul.
Salah seorang penduduk dan aktivis masyarakat sivil, Bandar al-Ugaidi berkata, “Saya berharap 2020 ini menjadi tahun pembinaan semula yang cepat dan ramai penduduk bandar ini kembali tinggal di sini semula.”
Pada Disember 2017, kerajaan Iraq mengisytiharkan bahawa IS telah diusir dari tempat terakhir mereka di Iraq, memberikan orang Iraq harapan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di kawasan yang dibebaskan. – Xinhua