HANOI, 13 FEB – Harga kopi di Vietnam mencatatkan lonjakan yang luar biasa, melebihi ramalan pakar dan menimbulkan kebimbangan terhadap spekulasi pasaran, lapor agensi berita Vietnam hari ini.
Harga kopi di wilayah Tanah Tinggi Tengah mencecah 131,000 dong Vietnam (AS$5.1) setiap kilogram minggu ini.
Di bursa London, harga kopi Robusta turun naik antara AS$5,573 hingga AS$5,696 setiap tan, manakala kopi Arabika di bursa New York melonjak sebanyak AS$540, mencecah AS$9,460 setiap tan bagi kontrak Mac 2025.
Meskipun harga kopi melambung tinggi, petani kopi Vietnam tetap berhati-hati dalam menjual hasil mereka.
Agensi berita Vietnam memetik Nguyen Thi Chien, seorang petani kopi dari wilayah Kon Tum, yang mengatakan keluarganya hanya menjual satu tan pada harga 115,000 dong Vietnam setiap kilogram, dengan sebahagian besar hasil kopi disimpan dengan harapan untuk memperoleh keuntungan lebih tinggi.
Ketidaktentuan pasaran menyebabkan ramai petani tidak pasti mengenai waktu yang tepat untuk menjual.
Pakar meramalkan bahawa harga yang tinggi akan berterusan sehingga Julai 2025, tetapi memberi amaran kepada petani agar tidak terlibat dalam spekulasi berlebihan bagi mengelakkan risiko kewangan. – Xinhua
