Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Sebuah premis perniagaan telah dikenakan kompaun $500 kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, hasil daripada pemeriksaan JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna mendapati bahawa syarikat berkenaan melakukan kesalahan mempamerkan harga barangan yang mengelirukan, di mana lapan jenis barangan di premis perniagaan mempunyai tanda harga yang tidak selaras dengan harga yang tercatat dalam sistem pembayaran.
Para peniaga hendaklah peka dan patuh terhadap perundangan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Di samping itu, para peniaga disarankan untuk sentiasa mengamalkan amalan perniagaan yang wajar dan beretika termasuk mempamerkan tanda harga dengan jelas dan tepat serta tidak mengelirukan pengguna dalam membuat keputusan pembelian.
Amalan perniagaan yang wajar dan beretika adalah antara asas bagi membina kepercayaan pengguna dan seterusnya dapat menyumbang kepada merangsang aktiviti perekonomian dalam negara.
