Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2023 yang membawa tema ‘Jururawat Kita. Masa Depan Kita’ memberikan penekanan kepada melindungi, menghormati dan menghargai jururawat.
Pada masa yang sana, jururawat berkedudukan unik untuk menangani cabaran-cabaran kompleks yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan pada masa ini iaitu daripada pandemik kepada peningkatan bebanan penyakit-penyakit kronik.
Oleh itu, para jururawat membawa kekayaan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran kepada tugas mereka, yang amat penting dalam memastikan para pesakit menerima penjagaan efektif, selamat serta berkualiti tinggi.
Penekanan itu dibuat oleh Pengarah Kejururawatan, Gleneagles JPMC, Chandra Devi Durairajoo dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Sambutan Hari Jururawat Gleneagles JPMC dengan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) yang berlangsung di Pusat Ehsan, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin; Ketua Pegawai Operasi Gleneagles JPMC, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari, kakitangan dari Gleneagles JPMC, ahli-ahli, ibu bapa dan kanak-kanak Pusat Ehsan.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Chandra Devi Durairajoo menekankan bahawa walaupun Hari Jururawat Antarabangsa secara asasnya menumpukan kepada meraikan dan menghargai sumbangan jururawat, tetapi mereka juga amat menghargai peranan penting yang dimainkan oleh profesional penjagaan kesihatan lain dalam sistem penjagaan kesihatan.
Mereka bekerjasama dengan erat untuk menyediakan penjagaan yang terbaik kepada para pesakit, tambahnya.
Acara sambutan itu dimulakan dengan tarian zumba dan cara penyucian tangan dengan jururawat dari Gleneagles JPMC bersama-sama ibu bapa dan kanak-kanak Pusat Ehsan.
Semasa acara berkenaan, para ibu bapa diberikan penerangan dan tunjuk ajar mengenai asas pertolongan cemas, bimbingan mengenai bagaimana untuk memberikan bantuan apabila kanak-kanak mengalami epilepsi dan tercekik.
Selain daripada itu, kanak-kanak juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam simulasi main peranan doktor dan pesakit dalam sebuah klinik dengan matlamat untuk mendidik mereka mengenai bagaimana seorang pesakit diberikan penerangan serta dirawat.
Kanak-kanak juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan termasuk nyanyian dan tarian.