Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Hari Antarabangsa eratkan silaturahim pelajar

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menjadi destinasi pengajian bagi 153 orang pelajar antarabangsa dari 27 buah negara, di mana 16 orang daripadanya ialah pemegang Biasiswa Kerajaan Brunei Darussalam (BDGS) dan 137 orang ialah pelajar persendirian.

    Dalam meraikan pelbagai budaya dan latar belakang serta mengeratkan lagi silaturahim antara mahasiswa dan mahasiswi antarabangsa dan tempatan UNISSA melalui perkongsian adat tradisi negara, dan pengalaman sepanjang menuntut ilmu di UNISSA, Unit Hal Ehwal Antarabangsa (UHEA), Majlis Perwakilan Pelajar, UNISSA telah mengadakan Hari Antarabangsa UNISSA, baru-baru ini.

    Acara dihadiri oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku tetamu kehormat majlis, pegawai-pegawai utama, pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

    Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh mahasiswa Tahun 3 Fakulti Syariah dari Thailand, Abduslam Jaidee.

    Turut memeriahkan acara ialah forum sesi perkongsian pelajar antarabangsa yang mengetengahkan mahasiswi Tahun 4 Fakulti Syariah dari Singapura, Mardhiah binti Rozalan; Mahasiswa Tahun 1 Sarjana Bahasa Arab berasal dari Togo, Mohamed Kouda; dan mahasiswa Tahun 3 Fakulti Syariah dari Thailand, Faisol.

    Dengan tema Sehati Sejiwa Al-Wafidun, acara diisikan dengan pameran kebudayaan daripada negara-negara asal pelajar antarabangsa iaitu Singapura, Indonesia, Thailand, Mesir, China, Jepun, Pakistan, Palestin, Nepal, Morocco, Nigeria, Ghana, Kenya dan Gambia.

    Antara yang ditampilkan ialah pakaian, makanan dan juga permainan tradisional.

    Acara turut diserikan dengan tayangan video dan persembahan choral speaking dan sketsa daripada pelajar antarabangsa.

    Rektor UNISSA semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Dr Haji Norarfan semasa melawat salah sebuah petak pameran yang diketengahkan oleh pelajar luar negara. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...