Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Hari Keusahawanan pupuk minat berniaga

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengungkayahkan Hari Keusahawanan KUPU SB dengan forum keusahawanan 2023 bertajuk ‘Memperkasa Keusahawanan Belia ke arah Merealisasikan Wawasan 2035’ selama dua hari bertempat di kawasan KUPU SB.

    Hadir pada majlis perasmian selaku tetamu khas ialah Ahli Majlis KUPU SB, Dato Paduka Dr Haji Ismail bin Haji Duraman.

    Kira-kira 50 petak jualan dan pameran merangkumi jualan makanan dan minuman, barangan dan pakaian telah didirikan dan disertai warga KUPU SB dan peniaga serta pengusaha luar KUPU SB. Turut menyertai pameran dan promosi ialah nadi-nadi KUPU SB seperti Nadi Pertanian, Nadi Bahasa Arab dan Nadi Al-Qawi Al-Amin selain Al-Huffaz Management.

    Perbincangan forum telah diadakan bersama Pengurus Syariah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Muhammad Takzimallah bin Haji Ahmad Sanuddin; Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan; Pengarah Urusan The Learner’s Bar, Awang Muhammad Ridhwan Hanafi bin Haji Zaini, dan Pengasas Bersama Sudut Space, Dayang Siti Nur Syahmina binti Haji Zaini. Selain itu, forum dimudahcarakan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

    Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa dipimpin oleh Exco Keagamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB, Awang Mohd Hafizuddin bin Mohd Saldin, Acara diteruskan dengan bacaan Asmaul Husna dan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan.

    Dalam ucapan alu-aluan oleh Dr Haji Noralizam selaku Pengerusi Hari Keusahawanan, menjelaskan bahawa antara objektif Hari Keusahawanan adalah untuk memupuk minat berniaga dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB, memupuk semangat kerjasama serta menerapkan nilai-nilai keusahawanan agar pelajar mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan negara, memberikan peluang kepada pengusaha dan peniaga dalam kalangan belia untuk berniaga dan memperkenalkan produk mereka.

    Hari Keusahawanan KUPU SB merupakan salah satu program yang termasuk dalam lapan program kokurikulum yang diperkenalkan kepada para pelajar di samping program kemahiran teras perguruan agama, pengembangan potensi diri, kemahiran hayat, khairat kemasyarakatan, pengembangan intelek, kesihatan jasmani, kepimpinan dan penyertaan hari kebesaran Islam dan negara.

    Antara pelajar yang mengambil bahagian dalam acara Hari Keusahawanan yang diadakan di kawasan KUPU SB baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...