Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 19 SEPT – Untuk memberikan peluang kepada bakal pelajar baharu dan ibu bapa serta penjaga lebih memahami kurikulum dan aktiviti sekolah, Sekolah St James, Kuala Belait telah mengadakan hari terbuka baru-baru ini.
Seramai 400 pelajar serta guru-guru telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dianjurkan, termasuk pertunjukan fesyen, persembahan lagu dan tarian, serta persembahan drama.
Pemangku pengetua sekolah, Joseph Beriso Sarmiento dalam ucapannya berkata, “Kami bertuah kerana mempunyai pelajar yang berbakat dan bersemangat yang telah menunjukkan kebolehan mereka bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam aspek disiplin lain.
“Usaha pelajar dan guru telah membawa impak positif kepada nama baik sekolah.
Sokongan dan dorongan ibu bapa benar-benar luar biasa.
Fakulti kami berterima kasih atas kerjasama dan kepercayaan yang awda berikan kepada kami. Ia tidak mungkin dapat dicapai tanpa bimbingan awda,” tambahnya.
Di samping itu, pelajar sekolah juga mempamerkan kemahiran keusahawanan mereka dengan mempromosi jualan melalui gerai masing-masing selaras dengan tema hari terbuka tahun ini, ‘Pemikiran Cara Keusahawanan’.
Turut didirikan ialah gerai usahawan dan pemilik perniagaan tempatan yang menyediakan pelbagai permainan dan aktiviti yang menyeronokkan untuk semua.