OAKLAND, CALIFORNIA, 4 JULAI – Sebuah zoo di kawasan Teluk San Francisco telah menginokulasi harimau, beruang dan feret terhadap koronavirus sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi spesies haiwan menggunakan vaksin uji kaji.
Harimau Ginger dan Molly adalah dua haiwan pertama di Zoo Oakland yang menerima vaksin minggu ini, lapor San Francisco Chronicle semalam. Dos vaksin disumbang dan dibangunkan syarikat farmaseutikal Zoetis di New Jersey.
Alex Herman, naib presiden perkhidmatan veterinar di zoo, berkata tidak ada haiwan yang telah dijangkiti virus, namun mereka ingin bersikap proaktif. Harimau, beruang, singa gunung dan feret adalah yang pertama menerima satu daripada dua dos pertama.
Dalam kenyataan media, beliau berkata zoo telah menggunakan sekatan untuk penjarakan sosial dan kakitangan memakai peralatan perlindungan untuk melindungi daripada spesies yang mudah dijangkiti.
“Kami gembira sekarang kerana berupaya melindungi haiwan dengan vaksin ini,” katanya.
Zoetis menyumbang lebih daripada 11,000 dos untuk haiwan yang tinggal di 70 zoo, serta lebih satu dozen di pusat pemuliharaan, institusi akademik dan pertubuhan kerajaan yang terletak di 27 negeri, menurut kenyataan.
Zoo San Diego mula memvaksinkan haiwan primat pada Januari selepas tercetusnya COVID-19 di kalangan sekumpulan gorila di Taman Safari. Beruk berkongsi 98 peratus daripada DNA dengan manusia dan mudah dijangkiti, begitu juga felin.
Kes koronavirus disahkan termasuk gorila, harimau dan singa di zoo itu, serta kucing dan anjing peliharaan. – AP
