NEW YORK – Universiti Harvard menamakan bintang R&B, Robyn Rihanna Fenty atau Rihanna, sebagai Tokoh Kemanusiaan 2017 bagi menghargai kerja kebajikan yang dilakukannya.
Penyanyi yang berasal dari Barbados berusia 29 tahun itu akan diberikan anugerah berkenaan di kampus universiti elit berkenaan pada 28 Februari ini.
“Rihanna bermurah hati membina pusat onkologi dan perubatan nuklear untuk tujuan mendiagnosis serta merawat barah payudara di Hospital Queen Elizabeth di Bridgetown, Barbados,” kata Pengarah Yayasan Harvard, S Allen Counter.
Rihanna juga mewujudkan program biasiswa, dinamakan sempena datuk dan neneknya, untuk pelajar dari kepulauan Caribbean di Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, beliau menyokong usaha memberi pencapaian lebih baik kepada pelajar perempuan mendapatkan pendidikan di negara membangun.
Penyanyi itu menyertai senarai penerima lalu, termasuk bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, aktivis dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Pakistan, Malala Yousafzai serta penyanyi Lionel Ritchie.
Rihanna, sudah menjual lebih 200 juta album, memenangi lapan anugerah Grammy serta merekodkan 14 lagu di tempat pertama carta.
Penyanyi itu juga bekerjasama dengan Puma menghasilkan jenama pakaian sendiri. – AFP