Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Keinginan yang membara untuk membantu semua orang terutama masyarakat tanpa berkira dan meminta imbalan adalah wira yang sebenar dan bagi mereka, membantu bukanlah suatu pilihan, tapi satu keperluan.
Sehubungan dengan itu, media telah berkesempatan menemu bual beberapa ‘wira’ yang telah tampil ke hadapan bagi membantu menambah tabung darah negara, baru-baru ini.
Sekumpulan penderma darah itu turut disertai oleh salah seorang penderma darah terbanyak di Negara Brunei Darussalam iaitu Tung Yiu Hung yang sudah menderma darah dan platelet lebih 160 kali, pada Januari lalu.
Tidak berseorangan, beliau datang bersama rakan-rakannya iaitu Ong Beng Guan, Wong Seen Kee, Wong Lian Pin dan Hue Yoon Fatt di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang ketika ini memerlukan penderma darah.
Tung Yiu Hung yang kini berusia 59 tahun, berkata beliau mula menderma darah pada 16 November 1994 dan sejak itu memasang tekad untuk terus menderma darah mengikut jadual.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P2-Lead-Hasrat_03022024.jpg)
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu unit darah yang didermakan boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa dan menerusi usaha itu, Tung boleh dikatakan telah berjaya menyelawatkan ratusan nyawa.
Tung juga menyatakan hasrat untuk mencapai misinya iaitu menderma darah dan platelet sebanyak 200 kali.
Ketika menceritakan penglibatannya menderma darah, Tung berkata ia bermula pada usianya lewat 20an semasa ikut serta kawan-kawannya yang ingin pergi menderma darah.
Sejak dari itulah, Tung menyatakan banyak kisah yang terus memberikannya dorongan dan inspirasi untuk menabur bakti tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
Beliau terkenang pada satu kisah beberapa tahun lalu, di mana beliau telah bertemu secara kebetulan seorang ibu muda yang merayu kepada orang ramai untuk menderma platelet bagi anak damitnya yang dilahirkan pramatang.
Ibu itu, tambahnya, merayu kepada para pelawat di hospital untuk menderma platelet bagi menyelamatkan anak damitnya.
Wanita berkenaan jelasnya, telah bertemu dan membawa Tung untuk melihat anak damitnya serta merayu kepada beliau untuk mendermakan platelet.
Terharu dengan rayuan ibu itu, beliau bersama rakan-rakannya bersetuju untuk membantu dan daripada insiden itu, beliau telah terpanggil untuk terus menderma darah dan platelet bagi membantu mereka yang memerlukannya.
Mengulas mengenai pengalaman menderma darah buat kali pertama, Tung tidak menafikan turut merasa gementar pada awalnya apabila melihat jarum suntikan tetapi sekarang baginya bagaikan ‘alah bisa tegal biasa’.
Menurutnya lagi, menderma darah itu bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga dapat menolong menyelamatkan nyawa orang yang memerlukan, di samping menjadi dorongan kepada individu lainnya untuk melakukan hal kebajikan yang sama.
Dalam hubungan itu, beliau menyeru orang ramai khususnya golongan muda yang aktif untuk berani tampil ke hadapan menderma darah, menyelamat nyawa dan menjadi ‘wira’ kepada yang memerlukan bantuan.
Beliau juga menasihatikan mereka yang gementar melihat jarum suntikan untuk cuba mengawal perasaan dan kebimbangan mereka kerana tiada apa yang perlu ditakutkan.
“Tidak ada apa yang perlu awda takutkan. Cucukan jarum hanyalah seperti gigitan nyamuk sahaja.
“Apabila awda berjaya mengatasi perasaan takut kali pertama menderma darah, tidak mustahil, selepas itu awda akan terus menjadi seorang penderma darah yang kerap,” ujarnya mengakhiri temu bual.