Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hati-hati dengan cuaca aktif hingga 28 Feb ini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini hingga 28 Februari dengan hujan lebat dan berpetir dijangka akan menjejaskan kebanyakan kawasan negara.

    Keadaan berangin, sekali-sekala kencang sehingga 45kmsj juga boleh berlaku terutama semasa hujan lebat melintasi kawasan negara.

    Di perairan Brunei pula, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana dengan ketinggian ombak 1 hingga 1.8 meter. Namun, keadaan laut diramalkan berombak di paras bergelora, dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter terutama di kawasan lepas pantai bermula lewat malam, 25 Februari hingga 2 Mac.

    Keadaan cuaca negara itu dikongsi oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

    Jabatan berkenaan menyatakan negara sekarang berada dalam fasa kedua monsun timur laut, di mana pada lazimnya angin timur laut adalah lebih dominan dan keadaan atmosfera adalah lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Walau bagaimanapun, keadaan cuaca diramalkan aktif untuk beberapa hari yang akan datang disebabkan kehadiran luruan angin timur laut yang berintensiti kuat dan sistem tekanan rendah di kawasan rantau ini.

    Keadaan itu akan menghasilkan atmosfera yang tidak stabil dan lembap serta seterusnya menggalakkan pembentukan awan-awan hujan.

    BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Risiko kejadian pokok tumbang masih berpotensi berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin serta terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Keadaan laut bergelora adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Orang ramai khususnya pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan itu menyatakan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi mudah alih Brunei WX atau hubungi peramal cuaca di Talian Cuaca 114, layari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram, @bruneiweather.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda