Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hatrik Lewandowski benam Alaves

    BARCELONA, 7 OKT – Robert Lewandowski meledak hatrik dalam tempoh 26 minit untuk memastikan kemenangan 3-0 Barcelona ke atas Alaves, sekali gus memimpin kelab Catalan itu mendahului tiga mata di hadapan Real Madrid dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

    Sevilla pula meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Real Betis dalam pertembungan derby, manakala Girona bangkit dengan kemenangan lewat 2-1 menentang Athletic Bilbao.

    Penyerang Poland, Lewandowski kini berjaya mengumpul 10 gol dalam sembilan perlawanan liga, menjadikannya penjaring terbanyak La Liga setakat ini. Tiga gol di separuh masa pertama memastikan Barcelona terus meraih kemenangan selesa di Stadium Mendizorroza di bawah kendalian jurulatih baharu, Hansi Flick.

    “Saya menerima banyak hantaran yang baik, jadi ia memudahkan saya untuk menjaringkan gol,” kata Lewandowski kepada DAZN.

    Reaksi Lewandowski selepas menjaringkan gol kedua pasukannya di stadium Mendizorroza di Vitoria, baru-baru ini. – AFP

    “Hari ini, kami bermain dengan baik sejak minit pertama. Kami mahu menyerang dan menjaringkan gol. Jika awda dapat menjaringkan tiga gol di separuh masa pertama, awda boleh mengawal permainan di babak kedua,” ujarnya.

    Barcelona mengesahkan kemenangan kelapan mereka daripada sembilan perlawanan La Liga musim ini, dengan mendominasi perlawanan menentang pasukan di tangga ke-12, Alaves.

    Raphinha, yang mencatat prestasi cemerlang musim ini, turut memainkan peranan penting dalam kemenangan tersebut. Pemain sayap Brazil itu menyumbang satu gol bantuan untuk membuka laluan kepada Lewandowski, hasil sepakan percuma yang disempurnakan penyerang veteran itu dengan tandukan.

    Raphinha sekali lagi mencuri tumpuan dengan larian pantas dari sebelah kiri sebelum menghantar bola kepada Lewandowski untuk gol kedua Barcelona.

    Penjaga gol Alaves, Antonio Sivera, berjaya menyekat beberapa percubaan dari Raphinha dan Lewandowski, namun Lewandowski melengkapkan hatriknya dengan satu lagi jaringan hasil hantaran Eric Garcia, yang menggantikan Ferran Torres yang cedera di awal permainan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda