Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hatrik Messi bantu Argentina benam Bolivia

    MONTEVIDEO, 16 OKT – Lionel Messi menjaringkan hatrik ketika juara dunia Argentina menang 6-0 ke atas Bolivia dalam kelayakan Piala Dunia CONMEBOL kelmarin.

    Pemain berusia 37 tahun itu memberikan peringatan tegas tentang kualitinya dengan tiga penyudah klinikal, dua bantuan dan beberapa gerakan menarik sepanjang permainan ketika pasukan Lionel Scaloni mendominasi.

    Pemenang Ballon d’Or lapan kali itu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 apabila bola daripada pertahanan Bolivia Marcelo Suarez dirampas Lautaro Martinez, yang membuat hantaran kepada Messi dan dia bijak menjaringkan ke sudut bawah.

    Penonton tuan rumah di Stadium Monumental Buenos Aires kembali bangkit pada minit ke-43 apabila Julian Alvarez menghantar hantaran cemerlang kepada Messi, yang tanpa mementingkan diri menghantar bola kepada Martinez untuk membuat jaringan lagi.

    Tiga minit kemudian, Alvarez pula mencari peluang apabila Bolivia terleka pada sepakan percuma, Messi menguis bola ke atas sebelum penyerang Atletico Madrid itu membuat jaringan ke gawang.

    Selepas rehat, tandukan Nicolas Otamendi dinafikan kerana ofsaid tetapi penyokong tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk gol keempat apabila Thiago Almada melakukan melalukan jaringan selepas gerakan hebat dari Nahuel Molina.

    Gol klasik Messi menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-84 apabila penyerang Inter Miami itu menggelecek dari tengah padang sebelum beralih dari kaki kiri ke kanan dan merembat bola ke sudut bawah.

    Dua minit kemudian, Messi sekali lagi meluru masuk dari sebelah kanan, melakukan hantaran bijak kepada pemain gantian Nico Paz sebelum sekali lagi merembat bola di luar jangkauan penjaga gol Guillermo Viscarra.

    Argentina mendahului senarai 10 pasukan dengan 22 mata daripada sepuluh perlawanan, tiga mata di hadapan Colombia di tempat kedua, yang turut menang menumpaskan Chile 4-0 di Barranquilla. – AFP

    Aksi Lionel Messi meraikan gol semasa perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 Amerika Selatan menentang Bolivia di stadium Mas Monumental di Buenos Aires kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda