Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hatrik Vinicius benam Dortmund

    PARIS, 23 OKT – Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Borussia Dortmund 5-2 dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi, dengan Vinicius Junior mencipta hatrik, manakala Aston Villa mengekalkan rekod sempurna mereka untuk menduduki tangga teratas.

    Vinicius Junior menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua ketika Real Madrid bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Dortmund 5-2, memberikan lebih tekanan kepada pasukan Jerman itu. Perlawanan berkenaan juga merupakan ulangan final musim lalu, di mana Real Madrid muncul juara dengan kemenangan 2-0.

    Gol separuh masa pertama hasil jaringan pantas Donyell Malen dan Jamie Gittens memberikan Dortmund kelebihan dua gol pada waktu rehat.

    “Keadaan agak sunyi ketika kami masuk ke bilik persalinan dengan ketinggalan 2-0 pada separuh masa,” kata Vinicius, 24, kepada Movistar.

    “Tetapi kami mendengar arahan jurulatih (Carlo Ancelotti) dan sepakat dengan satu perkara mudah: jika kami dapat menjaringkan gol pertama, kami akan bangkit dan menang sekali lagi.”

    Juara 15 kali itu segera bertindak balas pada awal babak kedua menerusi Antonio Rudiger dan Vinicius, sebelum Lucas Vazquez meletakkan Real di hadapan, dan pemain Brazil itu menambah dua lagi gol dalam 10 minit terakhir.

    Selepas kekalahan mengejut kepada Lille dalam perlawanan sebelum ini, usaha Madrid untuk merebut gelaran Liga Juara-Juara yang ke-16 kembali ke landasan yang betul apabila mereka melonjak ke tangga kesembilan dengan enam mata.

    Malen membuka jaringan buat Dortmund pada minit ke-30 selepas menerima hantaran cantik daripada Serhou Guirassy yang memecah benteng pertahanan lawan. – AFP

    Vinicius, meraikan gol keduanya dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda