Thursday, February 13, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hayati ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Bersempena menjelangnya bulan Ramadan ini, tajuk tazkirah pada Program Malam Munajat bagi minggu ke-79 menyentuh mengenai ‘Ihya Ramadan’.

    Antara yang diketengahkan oleh Pegawai Pelajaran Ugama, Ahli Sidang Redaksi, Urusetia Penerbitan Tafsir Mashaf Brunei Darussalam, Haji Azmi bin Haji Akop secara maya dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dalam tazkirahnya ialah untuk menghidupkan bulan Ramadan bukan sahaja dengan mengerjakan ibadah puasa dan bertadarus bahkan perlu mempelajari dan menghayati pengajaran yang terkandung dalam ibadah puasa itu.

    Beliau menyatakan antara pengajaran dalam ibadah puasa yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian adalah mengamalkan keikhlasan, ketakwaan, menerapkan nilai bersederhana, memanfaatkan masa dan saling bantu-membantu.

    Hadir semasa Program Munajat Ambang Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara semalam juga mengundang tetamu khas iaitu Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.

    Turut mengimarahkan acara itu ialah para pegawai, tenaga pengajar dan mahasiswa dari KUPU SB dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Pengkalan Batu serta jemaah dari 101 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara, dan juga warga KHEU berserta keluarga dari kediaman masing-masing.

    Selesai bacaan Sayyidul Istighfar, acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh mahasiswa Tahun 2 ITQSHHB, Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim.

    Ia disusuli dengan Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Haji Ayop bin Haji Ghani dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.

    Selepas tazkirah, Selawat Tafrijiyyah dibacakan oleh mahasiswa KUPU SB, Awang Mohammad Syafiq bin Mohammad Suhardie, dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyertai Program Malam Munajat bagi minggu ke-79 bersama jemaah lain. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda