Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Perenang kebangsaan Brunei Darussalam, Hayley Wong Ann Yue melakar sejarah selepas memecahkan dua rekod kebangsaan baharu semasa Sukan Belia Komanwel ke-7 di Trinidad dan Tobago Ahad lalu.
Perenang berbakat itu mencatat masa 29.31 saat (s) dalam acara 50 meter kupu-kupu wanita untuk mengatasi rekod kebangsaan sebelum ini 29.63s di Stadium Akuatik Kebangsaan.
Hayley juga memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter kuak dada wanita selepas mencatat 2:53.79s, mengatasi masa sebelumnya 2:55.10s.
Dalam acara lain, perenang lelaki Brunei, Zeke Chan Zhi Yue terlepas daripada mencatat rekod kebangsaan dengan masa 59.78s dalam acara 100 meter kuak lentang lelaki.
Rekod kebangsaan bagi acara 100 meter kuak lentang lelaki pada masa ini ialah 59.61s.
Sementara itu, rakan sepasukan negara Sharmeen binti Mohammad Mharvin bertanding dalam acara 100 meter kuak lentang wanita dengan catatan masa 1:14.01s.