HECAS kini dibuka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa Pengam-bilan HECAS 2022 Pusingan Pertama secara dalam talian bagi kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan permohonan biasiswa kerajaan ke luar negeri di bawah kendalian Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan bagi tahun akademik 2021/2022 akan bermula pada 5 Januari, pukul 8:30 pagi.

IPTA yang dimaksudkan adalah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), dan Politeknik Brunei (PB).

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan permohonan ditutup lima hari bekerja selepas pengumuman keputusan GCE A Level November 2021 dan tarikh tutup berkenaan akan diumumkan kemudian di laman sesawang HECAS.

Kursus-kursus yang ditawarkan adalah di peringkat Ijazah Pertama, Diploma Tertinggi Kebangsaan dan Diploma Level 5.

HECAS dibukakan kepada pemegang kad pintar Brunei Darussalam yang sah, iaitu kad pintar yang berwarna kuning, ungu atau hijau dan HECAS tidak memproses permohonan di bawah Skim Latihan Dalam Perkhidmatan atau permohonan orang asing yang tidak mempunyai kad pintar yang tersebut.

Pemohon boleh memakai keputusan yang diramal (predicted result) untuk memohon ke IPTA (UBD, UNISSA dan UTB) atau permohonan biasiswa kerajaan ke luar negeri di bawah kendalian Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan. Pemohon yang berjaya akan diberi tawaran bersyarat (conditional offer) oleh institusi berkenaan.

Sebelum tarikh tutup HECAS, para pemohon dikehendaki untuk membuat pembayaran tertunggak melalui aplikasi BIBD Mobile atau secara tunai di kaunter pembayaran iaitu di Pusat Tingkatan Enam Tutong dan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong serta memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dalam Institution Checklist.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut, boleh melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau laman sesawang HECAS yang baharu di hecas.moe.gov.bn.

Pemohon yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Pentadbiran HECAS melalui e-mel ask.hecas@moe.gov.bn atau melalui talian 2381224 semasa waktu pejabat.