Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hias ruangan guna kayu terpakai

    Oleh Amri HTZ

    Dalam membantu mengurangkan impak membinasakan melalui penebangan hutan, bukan sahaja pihak berkenaan, malahan semua pihak memainkan peranan termasuklah orang awam.

    Hal ini boleh dilaksanakan melalui sifat guna semula barangan terpakai seperti memperbaiki perabot atau perhiasan rosak terbuat daripada kayu yang dimiliki. Selain itu, masyarakat juga boleh melaksanakan tanggungjawab dengan cara memanfaatkan kayu terbuang untuk menghasilkan sesuatu yang baharu.

    Persediaan awal sebelum mula

    Projek kali ini akan menggunakan kayu terpakai untuk menghasilkan seni untuk hiasan dinding. Untuk itu awda memerlukan barangan seperti kepingan papan, ketam kayu, pry bar, tukul, pensel penanda, pahat kayu, gergaji kayu, blow torch, gas botol mudah alih, berus dawai atau tembaga, mesin pemotong kayu, pita pengukur, kertas pelekat, kertas pasir, mesin cetak dan pelindung permukaan jenis Tung Oil atau cat sembur clear.

    Ukur, potong dan cantum rekaan

    Memandangkan projek ini memanfaatkan kayu terpakai, kayu palet akan digunakan melihat kepada saiz dan bentuknya yang mudah untuk dibersihkan, diratakan dan keunikan ira kayu yang terdapat padanya. Proses bermula dengan menanggalkan kayu daripada struktur palet menggunakan pry bar. Mulakan daripada bahagian hujung kayu berdekatan dengan paku diikuti dengan bahagian hujung satu lagi dan diakhiri pada bahagian tengah kayu.

    Ketika proses mengumpilnya, lakukan langkah tersebut secara perlahan bagi mengelakkan kayu patah atau terbelah. Proses ini juga melihat kepada ukuran paku yang digunakan, jika ia besar langkah mengumpil perlahan untuk menanggalkan cantuman bagi mengelakkan kayu terbelah amat sukar. Jika ini berlaku, gunakan teknik menukul daripada bahagian belakang kayu menggunakan tukul dibantu oleh kayu berukuran 2 inci x 2 inci.

    Antara gambaran yang telah dicetak untuk dijadikan templat rekaan.
    Kayu yang telah diketam kemudiannya akan dibentuk bahagian hujungnya seperti kayu ‘berusia’ dan ‘rosak’ sebagai rekaan lebih terperinci.

    Perbezaan kayu yang dibakar yang belum digosok (gambar kiri), dan yang telah digosok dengan kertas pasir (kanan).
    Proses membakar kayu menggunakan blow torch.

    Teknik lain yang sering digunakan untuk memudahkan proses menanggalkan kayu daripada strukturnya ialah dengan cara membasahnya. Walaupun teknik ini juga berkesan, namun awda perlu membiarkan kayu mengering setelah ditanggalkan bagi membolehkan ia dikerjakan dan ini boleh memakan masa yang agak lama untuk ia mengering sepenuhnya.

    Setelah menanggalkan kayu daripada struktur palet, periksa lagi keseluruhan permukaan kayu. Pastikan ia bebas daripada sebarang besi seperti paku, stapler atau besi penyambung bagi kayu yang terbelah. Selain memerhatikannya secara fizikal, penggunaan magnet yang kuat juga membantu untuk mengesannya dengan cepat.

    Selesai membersihkan kayu, ratakan permukaan kayu menggunakan mesin ketam. Selain bertujuan untuk meratakan keseluruhan permukaan kayu, langkah mengetam juga bertujuan untuk mendapatkan permukaan dalam kayu yang bersih. Buangkan permukaan kayu sedikit demi sedikit agar tidak membebankan motor mesin sekali gus memendekkan hayatnya.

    Langkah mengetam kayu tersebut juga tertakluk kepada ukuran kayu yang diperlukan.

    Sesetengah kayu yang berukuran besar perlu dipotong terlebih dahulu sebelum mengetamnya dan sebilangannya tidak kerana ukurannya bersesuaian. Memandangkan seni untuk dinding yang direka ukurannya sesuatu yang fleksibel, ukuran kayu yang perlukan adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keinginan sendiri.

    Pada projek ini, kayu berukuran 16 inci x ½ inci x 4 inci akan didapatkan dengan cara memotongnya kemudian meratakannya. Gambar secawan kopi panas berserta wapnya kemudiannya akan dicetak pada permukaan kertas pelekat menggunakan mesin pencetak.

    Selain dengan cara mencetaknya, awda juga boleh menggunakan teknik bebas iaitu melukis gambaran yang dipilih.

    Kertas pelekat yang berisi gambar tersebut kemudiannya akan dipotong bahagian dalamannya menggunakan pisau utiliti. Tujuannya adalah bagi mendapatkan templat untuk proses memindahkan gambaran pada permukaan dipilih menggunakan cat sembur.

    Sebelum membolehkan awda melekatkan kertas tersebut pada permukaan papan, kayu tersebut terlebih dahulu akan dibakar untuk mendapatkan permukaan mengelap. Dengan menghalakan hujung blow torch yang dinyalakan, bakar permukaan depan, bawah, atas dan sisi kanan dan kiri kayu sehingga menghitam.

    Kayu yang telah dibakar kemudian akan digosok menggunakan kertas pasir berukuran 60 grit diikuti dengan langkah memberus permukaannya menggunakan berus dawai tersedia.

    Tujuan utama menggosokkan permukaan kayu adalah bagi membuang permukaan yang terlebih bakar sekali gus menghasilkan permukaan kayu berlainan warna.

    Langkah seterusnya ialah membuang habuk hasil daripada penggosokan permukaan kemudian lekatkan kertas pelekat tersebut pada permukaan papan dengan menandakan bahagian tengahnya (atas dan bawah kayu) agar gambaran benar-benar di tengah dan tegak. Setelah selesai melekatkannya, sembur cat berwarna putih pada permukaan kayu untuk lapisan pertama dari jarak 10 inci ke 12 inci.

    Apabila lapisan pertama cat mengering, semburkan lagi cat untuk lapisan kedua, kali ini dengan jarak sedikit dekat lebih kurang 8 inci agar ia lebih tebal dan merata. Jika lapisan kedua mengering dan awda masih tidak berpuas hati dengan ketebalannya, lapisan ketiga boleh dibuat melalui langkah yang sama.

    Setelah cat mengering, keseluruhan permukaan depan rekaan sekali lagi perlu diberus menggunakan berus dawai. Langkah ini akan menghasilkan gambaran yang seolah-olah sesuatu yang berusia dan unik. Ini diikuti dengan melindungi permukaan kayu menggunakan Tung Oil atau cat sembur jenis clear. Apabila cat mengering, rekaan yang telah siap direka kini boleh digantungkan di dinding ruangan pilihan untuk menghiasinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda