Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Menghiasi diri dengan akhlak yang baik dan mulia itu merupakan satu keutamaan bagi membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Antara akhlak mulia yang patut dimiliki oleh setiap umat Islam itu ialah tawaduk yang bererti taat, tunduk dan menyerah diri dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT semata-mata hanya kerana ingin mendapatkan keredaanNya tanpa merasakan diri lebih baik daripada orang lain.
Khatib menegaskan perkara ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang tajuk ‘Tawaduk Akhlak dan Sifat Mulia’.
Khatib seterusnya menambah, agama Islam menuntut umatnya supaya sentiasa mengamalkan sifat tawaduk dalam kehidupan seharian dan ini selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW.
Dalam khutbah tersebut, khatib juga mengongsikan lima jenis tawaduk iaitu tawaduk kepada Allah SWT di mana seseorang itu sentiasa merasakan diri terlalu kerdil di hadapan Allah SWT.
Manakala yang kedua pula, tawaduk kepada Rasulullah SAW iaitu menjadikan Rasulullah SAW itu sebagai ikutan dalam segenap aspek kehidupan seharian.
Sementara yang ketiga, tawaduk kepada agama iaitu sentiasa berpegang dan mentaati dalil-dalil yang benar iaitu Al-Quran dan hadis, dan keempat ialah tawaduk kepada kebenaran iaitu tunduk dan merendah diri kepada kebenaran yang telah nyata dan yang kelima, tawaduk kepada sesama manusia.
“Tawaduk itu adalah sifat yang sangat mulia dan walaupun kita mempunyai pangkat, darjat dan kemuliaan namun semua itu tidak boleh dijadikan sebab untuk sombong dan bangga diri dengan nikmat yang ada kerana semuanya itu adalah milik Allah SWT,” tegasnya.
Beliau seterusnya menambah, adapun antara perkara yang boleh merosakkan tawaduk itu sifat sombong, angkuh dan bangga diri iaitu merasakan diri lebih hebat daripada orang lain di mana sifat ini bukan saja boleh merosakkan sifat tawaduk seseorang malah Allah SWT tidak menyukainya.
Selain itu, sifat riyak iaitu melakukan amalan untuk diperlihatkan kepada orang lain manakala sum’ah pula adalah beramal sampai diperdengarkan kepada orang lain dan dalam erti kata lain, sesuatu ibadat itu dilakukan untuk mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang lain turut boleh merosakkan sifat tawaduk seseorang.
Menurut khatib lagi, setiap ibadat yang dilakukan pasti ada faedah dan ganjaran daripada Allah SWT dan inilah tanda kasih sayang Allah SWT terhadap hambaNya yang berakhlak mulia.
Adapun antara ganjaran Allah SWT bagi setiap manusia yang bersifat tawaduk ini ada dua bahagian iaitu mendapat ganjaran di dunia iaitu apabila seseorang itu benar-benar berakhlak dan tawaduk dalam melaksanakan amalan, Allah SWT akan mengangkat martabatnya.
“Selain mendapat ganjaran di akhirat, Allah telah menjanjikan syurga bagi hambaNya yang bersifat tawaduk,” tambahnya.