TAIPEI, 26 MEI – Sebuah kedai ramen di Taipei baru-baru ini mula menghidangkan mi dengan seekor makhluk laut dalam yang kelihatan seperti dalam filem fiksyen sains.
Di atas setiap mangkuk mi terdapat isopod yang mempunyai 14 kaki. Setiap mangkuk ‘edisi terhad’ di The Ramen Boy berharga NT$1,480 dan hanya untuk pelanggan tetap.
Kedai yang terletak di daerah Zhongshan, Taiwan itu menyiarkan gambar hidangan itu di Facebook minggu ini, dan berkata ia dimasak dengan cara dikukus.
Ia menambah bahawa daging makhluk itu rasanya seperti udang galah dan ketam, manakala kelenjar kuningnya rasa seperti telur ketam.
Ramen Boy juga mengatakan makhluk itu biasanya tinggal pada kedalaman laut antara kira-kira 170m dan 2,140m, dan ditangkap di perairan sekitar Kepulauan Pratas di Taiwan, juga dikenali sebagai Kepulauan Dongsha, barat daya Bandar Kaohsiung. – ANN/The Straits Times