Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidangan serba ringkas, menyelerakan

    Oleh Patsy Kam –

    Awda mungkin mengejar masa atau berasa tidak bersemangat dan tiada mood memasak sesuatu yang menarik untuk dihidangkan di atas meja makan. Usah risau, awda tidak bersendirian.

    Kadang-kadang, kita tidak boleh memutuskan apa yang hendak dimakan, lebih-lebih lagi apa yang hendak dimasak. Pada hari-hari seperti itu, kebanyakan kita boleh beralih kepada hidangan kegemaran tertentu yang dapat dinikmati.

    • Tauhu BerKicap

    Saya ingin memulakan dengan berkongsi hidangan yang boleh diharapkan – tauhu berkicap cair. Pada hari-hari apabila saya memerlukan satu lagi makanan untuk menambah hidangan, sekotak tauhu bungkus sudah mencukupi. Keluarkannya dari pembungkus, masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro selama satu minit, kemudian tuangkan sedikit kicap dan sos tiram ke atasnya untuk rasa. Senang sahaja, hidangan tauhu orang pemalas! Awda boleh menambah rasa dengan membubuh bawang besar, bawang putih goreng dalam minyak panas dan daging cincang – sama seperti apa yang awda dapat di restoran.

    • Nasi ayam dalam periuk

    Biasanya apabila jadual saya benar-benar padat dan tidak mempunyai masa untuk memasak, hidangan saat-saat terakhir saya ialah nasi ayam dalam periuk. Hanya gaul dua sudu besar Pes Nasi Ayam Sing Long Hainanese dengan secawan nasi, masukkan sedikit halia yang ditumbuk dan ayam yang dicincang. Masukkan semua bahan dalam periuk nasi.

    Untuk kelainan, saya menggantikan pes nasi ayam dengan kicap pekat dan cair, bawang putih ditumbuk, hirisan cendawan dan ketulan ayam untuk nasi ayam ala periuk tanah liat, tetapi dimasak dalam periuk nasi. Ia masih merupakan hidangan berkhasiat yang dimasak di rumah.

    Bubur makanan laut senang disediakan. – ANN/The Star
    Tauhu dengan sos kicap cair. – ANN/The Star
    Telur kukus. – ANN/The Star
    Nasi ayam dimasak dalam periuk. – ANN/The Star
    Telur dadar. – ANN/The Star

    • Bubur

    Periuk nasi saya mempunyai pilihan memasak bubur dan ia amat berguna. Keluarga saya suka bubur, jadi saya kerap memasaknya. Bahan yang diperlukan seperti ikan, kerang, kekapis dan makanan laut segar yang lain. Kadang-kadang, saya masukkan isi ayam atau cendawan cincang. Dengan sedikit perasa, minyak bijan dan daun bawang, saya boleh menyiapkan hidangan lengkap dalam masa setengah jam.

    • Telur dadar

    Ini mungkin hidangan yang paling mudah dan paling biasa untuk dimasak. Pada hari-hari apabila saya berasa malas dan perlu memasak sesuatu yang cepat dan kaya dengan protein, saya membuat telur dadar. Bilangan telur bergantung pada tahap kelaparan saya! Saya biasanya memasukkan beberapa tomato dan bawang.

    • Telur kukus

    Kami memakannya hampir setiap minggu kerana anak-anak saya menyukainya. Saya hanya pecahkan tiga atau empat biji telur, tambah air dalam kuantiti yang betul serta sedikit perasa dan kukus. Kadangkala, saya menambah sedikit telur masin untuk menjadikannya lebih menarik, atau bebola ikan dipotong kecil, yang disukai oleh anak saya. Menikmati hidangan dengan telur yang mempunyai bebola ikan tersembunyi bagaikan mencari harta karun!

    • Cekodok

    Bila sebut cekodok, kebanyakan orang fikir tentang pisang goreng yang manis. Tetapi saya biasanya membuat versi yang tidak manis dan ini biasanya menjadi hidangan hujung minggu saya apabila saya terlalu malas untuk melakukan sesuatu yang serius. Biasanya, saya akan mempunyai adunan pracampur di rumah yang boleh dibeli dari pasar raya. Saya menambah beberapa hirisan kubis. Jika saya rajin, saya akan menambah sedikit daging lembu atau ayam juga. Pisang goreng adalah hidangan dengan sendirinya. Ia sangat mudah dimasak dan amat lazat.

    • Nasi goreng

    Ini adalah satu sajian yang selalu saya masak apabila tiada perkara lain yang terlintas di fikiran. Saya menyelongkar peti ais saya untuk mencari lebihan makanan dan memotong apa yang saya temui dalam peti sejuk kepada kepingan kecil sebelum memasukkannya ke dalam nasi goreng. Apa yang lebih mudah? Orang Korea menjadikannya lebih eksotik dengan memanggilnya bibimbap, yang pada asasnya adalah versi nasi goreng mereka dengan sos! Tetapi bagi saya, lebih mudah untuk hanya memanaskan kuali dan goreng semuanya bersama-sama. Dan pada masa kini, awda boleh menambah perisa yang menarik seperti tom yum, kimchi, belacan dan sebagainya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda