Tuesday, February 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidap influenza, pelakon Meteor Garden meninggal dunia

    Penyanyi dan pelakon Taiwan, Barbie Hsu meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat radang paru-paru selepas dijangkiti selesema (influenza).

    Berita sedih itu disahkan oleh adik perempuannya, Dee Hsu yang memaklumkan kakaknya meninggal dunia ketika bercuti di Jepun, menurut laporan BH Online.

    “Terima kasih kepada semua yang mengambil berat. Semasa cuti Tahun Baharu, seluruh keluarga kami melancong ke Jepun. Kakak saya meninggal dunia akibat radang paru-paru selepas dijangkiti influenza.

    “Saya bersyukur menjadi adiknya. Kami saling menjaga antara satu sama lain dan saya akan sentiasa berterima kasih dan mengenangnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada portal berita, TVBS News.

    Hsu adalah satu nama besar selepas dikenali dengan watak Dong Shansai dalam drama popular tahun 2001, Meteor Garden dengan drama lain yang pernah dibintanginya termasuk Mars, Summer’s Desire dan Corner With Love.

    Barbie Hsu semasa ke Festival Filem Cannes di selatan Perancis pada 24 Mei 2006. – AFP

    Untuk rekod, Hsu memulakan kerjaya dalam industri hiburan pada usia 17 tahun sebagai penyanyi duo pop bersama adiknya, Dee.

    Mereka berdua kemudiannya menjadi pengacara dan cukup dikenali dengan gaya bertenaga dan lucu.

    Sebelum ini, Hsu mempunyai sejarah penyakit epilepsi dan jantung. Dia pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini akibat mengalami sawan.

    Barbie meninggalkan suaminya iaitu penyanyi Korea, DJ Koo Jun Yup dan seorang anak perempuan berusia 10 tahun.

    Aktres berkenaan turut mempunyai seorang lagi cahaya mata lelaki berusia 8 tahun hasil perkahwinan bersama bekas suaminya, usahawan dari China, Wang Xiaofei, lapor mStar Online. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda