Tuesday, April 22, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hindari najis dadah

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Penyalahgunaan dadah boleh mendatangkan kesan yang memudaratkan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, sekali gus dilarang dalam Islam dan undang-undang negara ini.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai penyalahgunaan dadah, menambah bahawa setiap yang memabukkan dan mengkhayalkan atau menghilangkan akal fikiran adalah haram.

    Menurut khatib, dadah itu pada dasarnya akan bertukar menjadi racun jika disalahgunakan malah sangat berbahaya dan boleh menyebabkan ketagihan dalam waktu yang singkat atas beberapa sebab.

    Antara sebab-sebabnya adalah kurangnya ilmu pengetahuan dan penghayatan agama, kurangnya kesedaran terhadap penyalahgunaan dadah, pengaruh rakan sebaya, sikap ingin tahu dan mencuba, mudah terikut-ikut rakan dan sebagainya.

    Khatib menegaskan, penyalahgunaan dadah boleh mengakibatkan pelakunya lupakan diri, agama, dunia dan akhirat sehingga mendorong mereka melakukan jenayah seperti menipu, mencuri, meragut, mencederakan orang dan paling dahsyat, sanggup membunuh dan melakukan apa sahaja jenis jenayah asalkan mereka dapat memiliki dadah dan memenuhi rasa ketagihan tersebut.

    Dadah juga boleh membawa kepada keganasan, keruntuhan rumah tangga dan perceraian, lupa tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak yang diamanahkan oleh Allah S.W.T. Menurut khatib lagi, krisis rumah tangga boleh memberikan kesan yang mendalam kepada anak-anak sama ada dari segi emosi, fizikal dan mental.

    Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membanteras penyalahgunaan dadah supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan tersebut. Antara langkah-langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa bagi mengelakkan anak-anak terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah seperti memberikan contoh teladan yang baik dan didikan agama yang sempurna sejak dari kecil lagi.

    Selain itu, ibu bapa juga hendaklah memastikan mereka menunaikan sembahyang dengan sempurna terutama dalam menunaikan sembahyang fardu lima waktu kerana ibadah sembahyang boleh mencegah mereka dari melakukan perbuatan keji dan mungkar.

    Di samping itu, menyemai hubungan baik serta mengeratkan hubungan mesra sesama ahli keluarga supaya anak-anak mendapat perhatian dan pemedulian daripada ibu bapa dan ahli keluarga.

    Bukan setakat itu, ibu bapa perlu memantau pergaulan, aktiviti dan permasalahan anak-anak bukan saja semasa berada di rumah malah semasa berada di luar rumah.

    “Ibu bapa perlu mengetahui dengan siapa anak-anak mereka berkawan, bergaul atau keluar rumah di mana perkara ini boleh mengelakkan mereka terpengaruh dan terjebak dari kancah penyalahgunaan dadah,” tegasnya. Selain itu, sentiasa mendoakan anak-anak dengan kebaikan di dunia dan akhirat kerana doa ibu bapa adalah mustajab dan mudah di perkenankan oleh Allah S.W.T.

    Penyalahgunaan dadah adalah punca penyakit sosial yang kian menular di setiap negara yang boleh mempengaruhi kepada pembangunan ekonomi, bangsa dan negara. “Amalkan ajaran Islam yang sebenar dengan mentaati perintah Allah serta menjauhi segala laranganya dan ingatlah keluarga yang harmoni dan bahagia adalah keluarga yang bebas dari dadah,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda