Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    HMS Spey UK berada di Sarawak

    KUCHING, 24 OKT – Kapal peronda luar pesisir Tentera Laut Diraja British, HMS Spey melakukan lawatan pertamanya ke Sarawak selama empat hari bermula Isnin lepas bagi meningkatkan hubungan dua hala, selepas singgah di Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Kuantan. 

    Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu mencerminkan komitmen United Kingdom (UK) untuk mengukuhkan hubungan dengan Sarawak. 

    “Kami menyedari potensi besar dalam kerjasama antara UK dan Sarawak, dan lawatan ini adalah bukti kepada usaha tersebut,” kata Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Tom Shepherd dalam kenyataan sama.   

    Semasa lawatan itu, Shepherd dan Pegawai Eksekutif HMS Spey, Leftenan Komander Kris White bersama-sama menganjurkan majlis makan malam di atas kapal untuk pegawai kanan politik Sarawak dan pihak berkepentingan di negeri ini.  

    Turut diadakan sesi pembelajaran bersama SMD Semiconductor Sarawak dan lawatan berpandu ke kapal untuk pelajar dari Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.

    Gambar The Star HMS Spey

    Kru kapal berkenaan juga berpeluang untuk menyaksikan budaya dan alam semula jadi Sarawak sebelum kapal belayar pulang.  

    UK mempunyai hubungan kerjasama pertahanan yang kukuh dengan Malaysia termasuk pembabitan dalam latihan dua hala seperti Ex TIGER GOLD dan latihan maritim (PASSEX) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia. 

    “Kerjasama pertahanan tersebut termasuk keanggotaan dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang terdiri daripada UK, Malaysia, Singapura, Australia dan New Zealand,” menurut kenyataan itu. 

    Menerusi FPDA, negara anggota mengambil bahagian dalam latihan Ex BERSAMA LIMA dan Ex BERSAMA SHIELD, yang memfokus kepada operasi bersama dalam persekitaran pelbagai ancaman dengan latihan dibentuk bagi meningkatkan keupayaan kerjasama dan mengukuhkan hubungan ketenteraan. 

    UK juga bekerjasama erat dengan rakan-rakan di Asia Tenggara untuk memastikan kawasan maritim yang selamat, makmur dan mampan selaras dengan Sistem Antarabangsa Berdasarkan Peraturan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda