Oleh Zulkamal Haji Kamis
Filem terbitan Universal, Fast & Furious Presents: Hobbs & Shaw telah berjaya memintas juara carta pecah panggung pada minggu lepas, The Lion King dengan meraih kutipan sebanyak AS$60 juta setelah ditayangkan di 4,253 pawagam di Amerika Utara.
Filem baharu itu dibintangi oleh Dwayne Johnson dan Jason Statham, dijangka akan menjadi pencabar yang lebih besar khususnya kepada filem-filem baharu di luar negara di mana filem itu mendapat sambutan hebat di peringkat antarabangsa. Pada minggu pertama ini, filem tersebut berjaya mengutip sebanyak AS$180 juta di seluruh dunia.
Walaupun tidak banyak menggunakan aksi kenderaan namun Hobbs & Shaw berjaya menarik minat orang ramai di seluruh dunia khususnya pada musim panas ini dan filem ini telah memperuntukkan sekitar AS$200 juta untuk direalisasikan. Siri filem Fast & Furious telah berjaya menghasilkan lebih daripada AS$5 bilion di seluruh dunia.
Semasa minggu pertama filem tersebut dilancarkan, kebanyakan penonton terdiri daripada kaum lelaki berbanding perempuan, menurut pengkritik filem. Kebanyakan penonton berpuas hati dengan persembahan filem tersebut malah CinemaScore memberikan markah A- manakala Rotten Tomatoes pula memberikan markah 90 peratus.
Berdasarkan kepada pengarah filem tersebut, David Leitch, The Rock dan Jason Statham mencipta satu pengalaman yang hebat dan benar-benar mendebarkan serta memberikan satu persembahan yang sangat baik.





Kutipan sebanyak AS$60 juta itu merupakan detik yang baik bagi Johnson dan Statham malah kutipan antarabangsa AS$180 juta meletakkan filem tersebut di kedudukan yang kelima filem hebat keluaran Universal iaitu di belakang The Fate of The Furious, Jurassic World, Furious 7 dan Fifty Shades of Grey.
Dalam Hobbs & Shaw, Luke Hobbs dan Deckard Shaw bergabung bagi menewaskan anarkis genetik yang dilakonkan oleh Idris Elba. Antara bintang Hollywood yang turut menjayakan filem tersebut ialah Helen Mirren dan Vanessa Kirby.
Kedudukan filem yang lain
Filem terbitan Sony, Once Upon a Time in Hollywood masih berjaya mengekalkan kedudukan yang teratas di pecah panggung.
Pada minggu ini, filem tersebut berada di kedudukan ketiga di belakang The Lion King. Once Upon a Time in Hollywood berjaya mengutip AS$20 juta, menurun sebanyak 20 peratus berbanding minggu lepas. Filem ini dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Brad Pitt dan Margot Robbie.
The Lion King berada dikedudukan kedua pada minggu ini dan berjaya meraih keuntungan sekitar AS$38 juta
Filem yang mendapat sentuhan baharu itu diarahkan oleh Jon Favreau dan merupakan filem keempat Disney yang mendapat sambutan hebat daripada orang ramai di seluruh dunia di mana pasaran domestik telah berjaya mengutip AS$400 juta keuntungan.
Manakala filem Spider-Man: Far From Home berada di kedudukan yang keempat pada minggu ini setelah beberapa minggu berada di carta pecah panggung. Minggu ini, Spider-Man telah berjaya mengutip sebanyak AS$7 juta. Filem adiwira ini telah berjaya mengumpulkan sekitar AS$1.08 bilion di seluruh dunia.
Seterusnya pada kedudukan yang kelima pula dimiliki oleh filem Toy Story 4 di mana pada minggu ini telah berjaya meraih kutipan sebanyak AS$7 juta di pasaran domestik dan AS$410 juta di seluruh dunia.
Manakala filem-filem di luar carta pecah panggung yang mendapat pujian ramai, The Farewell secara perlahan-lahan meningkat naik di seluruh AS.
Berada di kedudukan yang ketujuh pada minggu ini, The Farewell berjaya memperoleh keuntungan sekitar AS$2 juta.
Filem yang dibintangi oleh Awkwafina dan diarahkan oleh Lulu Wang ini berada di kedudukan yang ke-10 pada minggu lepas, meningkat naik dua anak tangga.
Antara filem baharu pada minggu ini, Luce berjaya memperoleh sekitar AS$132 ribu setelah ditayangkan di lima buah pawagam di seluruh AS.
Filem tersebut dibintangi oleh Naomi Watts dan Octavia Spencer serta diarahkan oleh pengarah filem The Cloverfield Paradox, Julius Onah.
Secara keseluruhannya, jualan tiket domestik masih menurun sebanyak 6 peratus berbanding tahun lalu, menurut Comscore.
Namun tumpuan seterusnya terhadap filem baharu seperti IT, Chapter Two, yang bakal menyeramkan penonton pada bulan September nanti.