LUBECK, JERMAN – Bau serbuk kayu dan pop karamel memenuhi ruang.
Badut, akrobat dan ahli silap mata semuanya sudah bersiap sedia untuk memulakan pertunjukan mereka.
Semasa penonton diarahkan ke tempat duduk mereka di dalam khemah besar, semua elemen klasik sarkas ada – kecuali satu. Haiwan hidup yang telah digantikan oleh hologram.
Berdasarkan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan, sarkas Roncalli Jerman berhenti menggunakan singa dan gajah dalam pertunjukannya pada tahun 1991.
Pada tahun 2018, sarkas Roncalli mengambil langkah lebih lanjut dengan mengeluarkan haiwan-haiwan hidup sepenuhnya dari program pertunjukannya.
“Pemilik sarkas, Patrick Philadelphia, 49 tahun, memberitahu AFP bahawa tidak lagi sesuai bagi Roncalli untuk menggunakan haiwan sebenar di dalam gelanggang,” katanya.
Dalam beberapa tahun terakhir, ruang sarkas semakin terhad.
“Jika memasang sarkas di tengah kota di pusat bandar, ruang terbuka yang cukup besar untuk kandang luaran bagi haiwan-haiwan tidak lagi tersedia atau sangat terhad,” kata Philadelphia.
Sifat nomadik kehidupan sarkas juga merupakan beban bagi haiwan seperti kuda yang perlu dimuatkan ke dalam gerabak dan kemudian dibawa ke bandar seterusnya.
“Itu tidak lagi masuk akal bagi sebuah sarkas yang menjaga kebajikan haiwan,” kata Philadelphia.
Apabila Roncalli mencari cara untuk memelihara keajaiban haiwan bagi kanak-kanak, satu pertunjukan di mana Justin Timberlake ‘bekerjasama’ dengan hologram mendiang Prince mencetuskan idea untuk menggunakan imej 3D.
“Jika awda boleh menayangkan seseorang yang sudah tiada ke dalam skrin hologram, mengapa awda tidak boleh melakukannya dengan haiwan, kuda, gajah? Itulah asal idea tersebut,” kata Philadelphia.
Di Luebeck, sebuah kereta api mengelilingi gelanggang untuk memulakan pertunjukan dengan lagu Sunday Morning oleh Nico dan The Velvet Underground, sebelum seekor burung nuri hijau terang muncul.
Burung itu memberikan laluan kepada seekor gajah dan anaknya, yang menghentak dan meniup trompet kepada penonton, hanya untuk dikejar oleh kumpulan kuda yang berlari laju.
Penciptaan ilusi visual itu merupakan satu cabaran teknikal kepada mereka, kerana pertunjukan sarkas meletakkan penonton dalam bulatan, berbeza dengan teater di mana orang ramai duduk di depan pentas.
Menggunakan 11 kamera, yang tersusun di siling khemah besar mengelilingi gelanggang, imej resolusi tinggi ditayangkan pada jaring halus yang mengelilingi ruang persembahan.
Apabila lampu padam, jaring itu hampir tidak kelihatan, tetapi imej-imej itu muncul.
Walaupun haiwan hidup memberikan sensasi, teknologi baharu juga membolehkan Roncalli melakukan sesuatu yang tidak dijangka.
“Segala yang awda boleh bayangkan, boleh dicipta oleh juruanimasi, seorang pereka grafik, kemudian ia boleh ditunjukkan dalam pertunjukan sarkas,” kata Toni Munar, Pengarah Teknikal sarkas.
Ketiadaan haiwan telah menjadi daya tarikan tersendiri.
“Saya belum pernah dengar tentang Roncalli sebelum ini. Kemudian apa yang saya dapati ialah tiada haiwan. Itu amat penting bagi saya,” kata pelajar Sophie Schult, 29.
Lawatan sebelum ini ke sarkas bersama keluarganya telah meninggalkan kesan buruk pada Schult.
“Saya selalu melihat kandang sempit di mana mereka (haiwan) disimpan. Itu pada dasarnya adalah kekejaman terhadap haiwan,” katanya semasa waktu rehat.
Walaupun tiada gajah atau singa sebenar, pertunjukan itu masih berjaya memikat hari Andreas Domke dan dua anak lelakinya.
“Saya kira itu bagus tanpa (haiwan), kerana mereka benar-benar cuba membuat bahagian pertunjukan yang istimewa,” kata doktor berumur 39 tahun itu.
Pertunjukan itu juga memikat penonton yang lebih tua. Mathias dan Marina Martens, kedua-duanya berumur 63 tahun, berkata pertunjukan tersebut membuat mereka merasa seperti kanak-kanak semula.
“Aksi akrobatik yang ditunjukkan di sini sungguh mengagumkan,” kata Mathias Martens, sebelum isterinya menyambung, “Awda tidak perlu haiwan di sini. Untuk melihat haiwan, boleh pergi ke zoo.” – AFP