MENURUT Prof. Madya Dr. Salasiah Hanin Hamjah, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), apa yang dilakukan oleh lelaki terutamanya suami seperti kecurangan, bertindak ganas dan melakukan kesalahan-kesalahan lain, adakah wajar untuk seorang wanita berdiam diri dan bersabar sahaja dengan apa yang berlaku?
Justeru itu, beliau menegaskan perkara utama adalah hormat-menghormati antara satu sama lain. Jika isteri hormat suami seperti melayan dengan baik, menjaga makan dan minum, si suami juga pasti terdorong untuk melayani dengan baik isterinya.
Begitulah sebaliknya, sekiranya si suami sentiasa menjaga perilaku, tidak menzalimi pasangan, sudah tentu juga isteri tidak akan bertindak di luar kebiasaan. Kesannya bukan sahaja mengharmonikan hubungan masing-masing malah melahirkan sebuah keluarga yang bahagia.
Tambahnya, bagi suami yang curang dengan pasangan, itu adalah urusan dia dengan Allah Subhanahu Wata’ala. Dosa akibat melakukannya dia sendiri yang tanggung. Jadi sebagai seorang isteri, tanggungjawabnya masih untuk suami. Dia perlu taat dan hormati suaminya. Namun sekiranya si suami sudah mula memaksa untuk membuat maksiat, maka isteri mempunyai hak untuk berpaling tadah dan memilih untuk tidak mentaati suami.
“Isteri boleh ingkar arahan suami sekiranya disuruh membuka aurat seperti berpakaian seksi untuk tatapan orang ramai, sedangkan tanggungjawab suami adalah sentiasa memelihara kehormatan isterinya. Isteri juga boleh menidakkan arahan suami sekiranya disuruh untuk meninggalkan solat semata-mata untuk memberi layanan kepada suami.
“Begitu juga sekiranya isteri disuruh menjual diri untuk mendapatkan wang serta mencuri dan menderhaka kepada ibu bapa, isteri boleh untuk tidak mentaati suruhan suaminya itu.
“Tanpa ada nilai hormat-menghormati, rumah tangga yang dibina juga boleh musnah. Seperti yang disebut di Surah Al-Rum , ayat-21: “Antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Nya dan rahmat Nya, Dia menciptakan untuk kami wahai lelaki, isteri-isteri dari jenis kaum kamu sendiri supaya kamu merasa tenang bersamanya dan dijadikan antara kami perasaan saling kasih mengasihi.”
“Kita nilailah sendiri, sekiranya dalam sebuah keluarga itu dipenuhi dengan keganasan, sudah tentu ia memberi kesan kepada anak-anak. Psikologi mereka akan terjejas, malah mungkin mereka mentafsirkan bahawa pukul memukul itu adalah perkara normal!
“Oleh yang demikian, rasa saling menghormati antara satu sama lain adalah kunci utama untuk mencipta bahagia dalam sesebuah rumah tangga mahupun perhubungan. Jika sudah pudarnya sifat ini, tidak mustahil akan wujud perkara gelap dan suram seterusnya melibatkan keganasan fizikal. Malah lebih jauh daripada itu, seandainya persefahaman sudah tidak diwujudkan lagi, maka perpisahan mungkin langkah yang terbaik,” jelas Dr. Salasiah.
Dalam pada itu beliau menegaskan, sifat malu pada seorang wanita adalah perkara yang paling penting sebagai pakaian harian. Dengan malu itulah nescaya perilaku lebih terkawal dan tidak bertindak di luar kawalan.