Monday, March 17, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hot spot memancing di muara

    Oleh Raz AS

    Memancing di kawasan muara sememangnya menarik minat ramai penggemar-penggemar aktiviti memancing. Tidak kiralah di mana jua negara, kawasan muaranya dihuni oleh pelbagai spesies ikan daripada yang kecil sehinggalah spesies besar yang mampu mencecah hingga puluhan kilogram berat.

    Di negara kita, Brunei Darussalam, antara spesies-spesies muara yang terkenal menjadi buruan ramai pemancing adalah seperti ikan selungsung, ungah, umpak, ketambak, kerapu, barah-barahan, kurau dan languran. Manakala itu ikan-ikan kecil seperti ikan kitang, garut-garut, usus, bilis, pulut-pulut dan lain-lain lagi turut mempunyai peminat-peminatnya yang tersendiri.

    Meskipun kawasan muara merupakan tempat yang seronok untuk meluangkan masa kita memancing kerana kepelbagaian spesiesnya itu, namun kerana sifatnya yang sensitif dengan sebarang perubahan alami seperti hujan, keadaan arus, tahap kejernihan dan kemasinan air, suhu dan cuaca secara amnya, ikan-ikan yang menghuni kawasan muara sentiasa berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat di mana mereka akan merasa lebih selesa atau berlindung.

    Oleh yang demikian tidak hairanlah jika pada satu hari kawasan tempat kita selalu memancing tiba-tiba meriah atau sebaliknya.

    Memancing di kawasan muara sungguh mudah sekali, cuma perlu pasang umpan pada mata kail dan lontar tunggu ikan makan. Walau bagaimanapun pemancing yang berjaya adalah seorang pemancing yang tahu di mana tempat-tempat ikan berkemungkinan tinggi atau selalunya berada, dalam erti kata lain ‘hot spot’ ikan, mengikut keadaan waktu dia turun memancing.

    Memancing di kawasan muara sememangnya menarik minat ramai penggemar-penggemar aktiviti memancing kerana kawasan muaranya dihuni oleh pelbagai spesies ikan daripada yang kecil sehinggalah spesies besar. – Agensi
    Di negara kita antara spesies-spesies muara yang terkenal menjadi buruan ramai pemancing adalah seperti ikan selungsung, ungah, umpak, ketambak, kerapu dan sebagainya. – Agensi
    Memancing di kawasan tembok batu ini mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri yang tidak kurangnya juga boleh memeningkan kepala seperti risiko sangkut yang sangat tinggi. – Agensi
    Tiang-tiang jeti dan jambatan juga merupakan salah satu struktur binaan manusia yang boleh menjadi hot spot tempat ikan-ikan berlindung dan mencari makan. – Agensi

    Tembok batu

    Kawasan-kawasan bertembok batu atau pemecah ombak sememangnya kawasan yang terkenal dihuni oleh banyak spesies muara seperti kerapu, ungah, ketambak, selungsung dan lain-lain. Meskipun begitu memancing di kawasan tembok batu ini mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri yang tidak kurangnya juga boleh memeningkan kepala kita. Salah satu daripadanya adalah risiko sangkut yang sangat tinggi.

    Oleh itu selain daripada memancing di kawasan bahagian tembok batu yang terlindung daripada pergerakan arus, waktu terbaik untuk memancing di kawasan tembok batu ini adalah ketika arus bergerak perlahan agar pancing tidak mudah hanyut. Salah satu waktu yang paling sesuai untuk menduga kawasan ini juga adalah pada waktu air surut rendah kerana pada waktu ini ikan-ikan akan keluar dari tempat persembunyiannya di celah-celah batu, berbanding ketika air dalam di mana ikan-ikan selalunya hanya akan duduk diam menunggu mangsa melintas di hadapan tempatnya bersembunyi.

    Tiang jeti dan jambatan

    Tiang-tiang jeti dan jambatan juga merupakan salah satu struktur binaan manusia yang boleh menjadi hot spot tempat ikan-ikan berlindung dan mencari makan. Tiang-tiang ini memberikan tempat perlindungan ikan-ikan untuk berehat daripada arus atau sebagai tempat bersembunyi untuk menyerang hendap mangsanya.

    Selain itu bayang-bayang yang terhasil daripada binaan di atas tiang tersebut, seperti jeti atau jambatan, membe-rikan ikan tempat berlindung daripada cahaya terik atau menyembunyikan kehadirannya daripada pemangsa dari atas terutama di kawasan perairan yang cetek.

    Tambahan lagi pada waktu malam cahaya lampu dari jeti dan jambatan boleh menarik perhatian ikan-ikan kecil untuk berkumpul di sana. Ketika inilah ikan-ikan besar akan selalunya berkeliaran untuk menyerang hendap anak-anak ikan tersebut di kawasan di mana capaian cahaya lampu tersebut mulai malap.

    Berdekatan alur atau aloh

    Alur atau aloh (Channel) merupakan kawasan paling dalam di sesebuah sistem sungai atau muara itu di mana arus sungai selalunya mengalir lebih deras berbanding kawasan sekitarnya. Meskipun begitu ketika memancing di muara, kawasan air dalam tidak bermakna ia selalu menjadi tempat terbaik untuk melabuhkan umpan. Tidak dinafikan kawasan aloh selalunya dihuni oleh ikan-ikan besar, yang menghendap mangsanya yang bermain-main di kawasan cetek.

    Kawasan muara selalunya mempunyai banyak aloh. Bercakap mengenai aloh dan tempat terbaik untuk melabuh umpan adalah berdekatan dengan aloh (Channel edges), di mana kawasan cetek tiba-tiba bertemu dengan kawasan dalam, yakni kawasan dasar muara tersebut melantai, yang selalunya kelihatan pasir atau tanah ketika air surut habis, dan bertembung dengan ‘terabis’.

    Meskipun begitu waktu terbaik untuk meletakkan umpan di kawasan itu adalah ketika air bergerak surut dan baru berbalas pasang. Ini kerana, anak-anak ikan atau udang yang berada di kawasan cetek akan perlahan-lahan menghampiri kawasan berdekatan aloh ketika air mula bergerak surut, atau mula berkumpul di sana ketika air mula bergerak pasang, memberikan banyak sumber makanan kepada ikan-ikan besar yang mengendap di kawasan air dalam.

    Kawasan cetek melantai

    Seperti yang dikatakan tadi kawasan dalam atau aloh bukan bermakna ia selalu menjadi tempat terbaik untuk melabuh umpan. Ramai pemancing selalu terlepas pandang kawasan cetek melantai atau lebih dikenali sebagai flat dalam Bahasa Inggerisnya.

    Memancing di kawasan ini boleh menjadi produktif bila kena dengan waktunya. Apabila air pasang besar ikan-ikan besar akan mengambil kesempatan untuk mencari mangsa yang selalu bermain-main di kawasan cetek ini. Namun begitu waktu memancing di kawasan ini selalunya terhad hingga beberapa jam sahaja sebelum air kembali surut dan memaksa pemancing untuk beredar dari sana sebelum terkandas. Apabila memancing di kawasan cetek adalah dinasihat agar pemancing menggunakan kaedah ‘senyap’ atau stealth, yang bermaksud tidak membuat bising kerana kehadiran kita mudah dikesan oleh ikan-ikan di sana berbanding di kawasan air dalam.

    Reba kayu atau dasar berstruktur

    Reba kayu atau dasar berstruktur seperti batu merupakan struktur tenggelam yang selalu ditemui di dasar muara. Kawasan ini memberikan perlindungan kepada ikan-ikan yang suka mengendap mangsanya, dan selalunya sentiasa dihuni oleh ikan tidak kiralah ketika air surut atau pasang kerana ia sentiasa ditenggelami air.

    Mulut anak sungai

    Di kawasan pinggir muara selalunya terdapat anak-anak sungai yang mengalirkan airnya ke badan utama sistem muara. Apabila air bergerak surut, anak-anak sungai ini akan membawa bersama makanan-makanan alami pelbagai spesies ikan dari kecil hinggalah besar, memberikan peluang kepada pemangsa-pemangsa yang bersifat oportunistik untuk mengendap mangsanya di kawasan mulut anak sungai tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda