Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Hotel Radisson Brunei sebagai rakan kongsi kedua

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Bagi menandakan sebuah mercu tanda signifikan dalam mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV), QAF Auto Sdn Bhd mengumumkan Hotel Radisson Brunei sebagai Rakan Kongsi Pengecas Destinasi BMW yang kedua.

    Ini sekali gus menjadikan hotel berkenaan sebagai hotel pertama di Negara Brunei Darussalam yang menawarkan stesen pengecas EV.

    Majlis perasmian stesen pengecas EV berkenaan telah diadakan di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini, yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau; Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Alisa Khoo; Pengurus Besar Hotel Radisson Brunei, Miriam Wolber dan wakil Lembaga Pengarah Hotel Associates Sdn Bhd, syarikat pemilik Hotel Radisson Brunei, Stephen Ong.

    Majlis itu menandakan mercu tanda signifikan dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada EV serta selaras dengan strategi kemampanan holistik kedua-dua buah syarikat bagi menubuhkan sebuah infrastruktur pengecasan yang bersepadu dan mudah bagi pemilik-pemilik EV BMW di seluruh negara.

    Alisa Khoo menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk berganding bahu dengan Hotel Radisson dalam menyampaikan penyelesaian bagi merealisasikan lagi hasrat kemampanan tenaga bagi masa depan pengangkutan.

    Alisa Khoo (dua kiri), Albert Lau, Stephen Ong dan Miriam Wolber semasa majlis perasmian. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Albert Lau menyaksikan Stephen Ong ketika mengecas EV BMW iX. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Rakan Pengecas Destinasi BMW di kawasan letak kereta Hotel Radisson. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kerjasama itu, tambahnya, menjadikan hotel berkenaan sebagai Rakan Kongsi Pengecas Destinasi BMW pertama di sebuah hotel dan menjana asas yang kukuh bagi mobiliti elektrik yang membolehkan mereka memacu penerimaan mobiliti elektrik di Brunei.

    Sementara itu, Miriam Wolber menyatakan bahawa dengan dunia bergerak ke arah masa depan yang lebih hijau, Hotel Radisson Brunei mengambil maklum akan pentingnya amalan-amalan peka alam sekitar dan berusaha bagi memenuhi keperluan tetamu mereka yang sentiasa berubah.

    Dalam hubungan itu, ulasnya, kerjasamanya dengan QAF Auto bagi pemasangan stesen pengecas EV adalah selaras dengan komitmen kumpulan Hotel Radisson kepada kemampanan dan menawarkan penyelesaian yang mudah bagi pengunjung yang mengguna pakai EV.

    Pengarah Operasi Kanan, Asia Tenggara bagi Kumpulan Hotel Radisson, Deborah Haines dipetik menyatakan, kumpulan itu mempunyai visi dan komitmen yang kuat dalam memudahkan perniagaan bertanggungjawab melalui kemampanan.

    Dalam hubungan itu, mereka amat berbesar hati bagi memainkan peranan yang penting dalam perjalanan kemampanan Brunei dengan menubuhkan hotel pertama di negara ini untuk melancarkan sebuah stesen pengecas EV.

    Pelancaran stesen pengecas EV itu menyediakan manfaat nilai tambah eksklusif kepada para pengunjung ke hotel berkenaan serta menekankan lagi komitmennya kepada menyediakan perkhidmatan inovatif yang mengutamakan kepuasan tetamu dan tanggungjawab alam sekitar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...