Oleh Daniel Lim
BELAIT, 7 APRIL – Bagi meraih keberkatan sekali gus menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia, Kementerian Kesihatan tidak ketinggalan jua untuk sama-sama menghidupkan suasana bulan Ramadan dengan mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran yang berlangsung di Surau Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Kuala Belait pada petang kelmarin.
Turut hadir dan mengambil bahagian dalam majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan seterusnya diikuti dengan bacaan tadarus Al-Quran secara berjemaah bersama para pegawai dan kakitangan hospital berkenaan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil and Doa Arwah yang dikhususkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim yang dipimpin oleh Ketua Ugama HSSB, Awang Mohd Ali Omar bin Haji Mohd.
Selain itu, 14 anak yatim turut menerima sumbangan daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan di majlis tersebut.
Majlis Tadarus Al-Quran ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan yang dianjurkan oleh kementerian di seluruh negara dalam menyambut bulan suci Ramadan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Kesihatan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.