Monday, November 25, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan kekeluargaan mesti berasaskan takwa

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kepentingan hubungan kekeluargaan mestilah berpaksi kepada keikhlasan, mengharapkan reda Allah SWT iaitu sebelum mengharapkan reda manusia.

    Malah hubungan kekeluargaan mestilah ber-asaskan kepada takwa, takut akan akibat ketika di alam barzakh dan alam akhirat nanti iaitu sebelum timbulnya rasa takut kepada pelanggaran undang-undang dan peraturan.

    Sementara akhlak terpuji sebagai hamba Allah yang sentiasa bertaubat, takut, zuhud, sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, mahabbah, reda dan mengingat kematian ditambah lagi menjaga sembahyang menghayati ajaran agama Islam Insya-Allah, kehidupan berkeluarga akan penuh keberkatan.

    Perkara tersebut antara tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Kanan, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Saharuddin bin Haji Patra dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien bagi menyerikan lagi Malam Munajat kali ke-161 anjuran KHEU, malam kelmarin.

    Hadir selaku tetamu khas pada acara berkenaan ialah Awang Muhammad Ashim Amrullah bin Abdul Rahman Menchok selaku ahli Persatuan Saudara-saudara Baharu Temburong (PESAT) yang turut memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Balai Ibadat Kampung Sibut, Daerah Temburong.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menyertai program Malam Munajat secara dalam talian, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Bersama-sama mengimarahkan acara berkenaan ialah ahli-ahli PESAT; belia masjid dan ahli jawatankuasa takmir (AJKT) dari Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong, Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait, dan Balai Ibadat Kampung Saba; serta beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

    Selain itu, warga kerja Jabatan Hal Ehwal Syariah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien; warga kerja KHEU bersama keluarga; serta individu turut menyertai secara maya dari kediaman masing-masing.

    Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Bokok, Daerah Temburong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamzah; bersama belia masjid dan AJKT dari Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong.

    Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Kanan Khidmat Nasihat Rumahtangga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Awang Mohammad Dini bin Haji Morsidi dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Selesai tazkirah, acara disusuli de-ngan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai dipimpin oleh belia dari Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait, Awang Mohamad Hadi Saifullah bin Abdul Rahim.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Shahrin bin Haji Matnor dari Balai Ibadat Kampung Saba.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda