Oleh Salawati Haji Yahya, Syahmi Hassan, Daniel Lim & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dengan bulan Ramadan tinggal kurang daripada dua minggu lagi, majlis-majlis keagamaan dan amal terus rancak dilaksanakan oleh pelbagai pihak di negara ini dalam meraih ganjaran lebih besar padabulan yang mulia ini.
Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), kelmarin, telah meneruskan Program Jangkauan dan Ihya Ramadan di Masjid Kampung Menunggol, Pulau Berambang yang menyaksikan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin di Kampung Menunggol.
Pada majlis itu, penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku ketua rombongan.
Penyerahan sumbangan kepada fakir miskin pula disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Majlis juga menyaksikan penyerahan dana masjid kepada imam masjid berkenaan, Awang Mohammad Zulhafiz Zariq yang disampaikan oleh Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.





Di Daerah Belait, seramai 584 orang dari seluruh daerah berkenaan berkumpul di Balai Raya Pusat Insani, Seria untuk menerima sumbangan daripada Tabung Anak Yatim Daerah Belait bagi 2023, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad dengan diiringi oleh Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis dan Timbalan Pengarah Urusan Haji, Awang Mohammad Azmi bin Haji Mohammad Hanifah.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah selaku Ketua Kampung Kampung Bukit Sawat, bersama-sama para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, serta pegawai-pegawai kanan dari BSP dan agensi kerajaan di Daerah Belait.
Majlis turut diisikan dengan tazkirah bertajuk ‘Menjaga Anak Yatim Sunah yang Perlu Diperkasakan’ yang disampaikan oleh Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Muhammad Hilmi bin Yakop.
Dalam membantu menyokong lagi usaha murni mengumpul dana untuk membantu anak-anak yatim di daerah tersebut, beberapa wakil daripada persatuan, kumpulan dan syarikat tempatan turut hadir menyampaikan sumbangan berjumlah $6,900 keseluruhannya kepada Tabung Anak Yatim Daerah Belait pada majlis berkenaan.
Antaranya adalah Persatuan Dewan Perniagaan Tionghua Daerah Belait, Sullivans (B) Sdn Bhd, Asia Enterprise, Chiam Engineering and Construction, Pustaka Remaja Sdn Bhd, Syarikat Teras Maju Bookstore Sdn Bhd, Persatuan Hainan, Persatuan Foo Chow, dan Persatuan Usia Panjang Kekal.
Sementara itu, Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri menganjurkan majlis penyampaian sumbangan kepada 30 orang anak yatim di kawasan Rancangan Perumahan Negara Fasa I dan II, Kampung Mentiri, hari ini.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Terdahulu, majlis khatam Al-Quran diadakan bagi peserta tadarus Al-Quran dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan.
Seramai 32 orang anak yatim di RPN Kampung Panchor Kawasan 1 dan 3 pula telah menerima sumbangan pada majlis anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Panchor Kawasan 1 dan 3 di kediaman Pemangku Ketua Kampung, Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad.
Penyampaian derma yang disempurnakan oleh Awang Mohammad Hilmy, diikuti dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah.
Sumbangan-sumbangan yang disampaikan oleh pelbagai pihak itu diharapkan dapat membantu para penerima dalam membuat persediaan menyambut bulan Syawal yang menjelang tidak lama lagi.

