PHNOM PENH, 27 JULAI – Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berkata kelmarin beliau akan berundur pada bulan Ogos dan menyerahkan jawatan itu kepada anak sulungnya, walaupun pemimpin paling lama berkhidmat di Asia itu dijangka terus memegang kuasa besar.
Tindakan yang dijangka secara meluas itu dibuat selepas Parti Rakyat Kemboja pimpinan Hun Sen yang autokratik memperoleh kemenangan besar Ahad lepas dalam pilihan raya yang dikritik oleh negara Barat dan pertubuhan hak asasi manusia sebagai tidak bebas dan tidak adil, sebahagiannya kerana pembangkang utama negara itu dihalang daripada bertanding.
Anak lelaki Hun Sen, Hun Manet berusia 45 tahun, yang memenangi kerusi pertamanya di Parlimen beberapa hari lalu dan merupakan ketua tentera negara itu, adalah sebahagian daripada peralihan generasi yang lebih besar. Ramai penggubal undang-undang yang lebih muda dijangka mengambil alih kuasa, memegang jawatan menteri, termasuk anak bongsu Hun Sen dan lain-lain yang berkaitan dengan ahli parti yang lebih tua.
Ramai yang berpendidikan di Barat, seperti Hun Manet, yang mempunyai ijazah sarjana muda dari Akademi Tentera Amerika Syarikat West Point, sarjana dari Universiti New York dan ijazah kedoktoran dari Universiti Bristol di Britain, semuanya dalam bidang ekonomi.
Itu boleh menandakan perubahan dalam nada daripada pemimpin Kemboja, kata Ou Virak, presiden badan pemikir Forum Masa Depan Phnom Penh, tetapi dia tidak menjangkakan sebarang perubahan dasar yang besar.
“Akan ada perubahan yang jelas dalam gaya kepimpinan,” katanya dalam temu bual telefon. “Peralihan kepada generasi muda hanya menjadikan perbualan mengenai dasar berpotensi sedikit lebih rancak.”
Namun, beliau berkata ia mewakili detik kritikal. “Dia tidak akan melepaskan, dia tidak boleh melepaskannya,” katanya mengenai Hun Sen. “Tetapi saya fikir sebaik sahaja awda memasuki separuh persaraan, tidak ada jalan untuk berpatah balik.”
Hun Sen, yang secara beransur-ansur mengetatkan cengkaman kuasanya selama 38 tahun memegang jawatan sementara turut memulakan ekonomi pasaran bebas yang telah meningkatkan taraf hidup ramai rakyat Kemboja, dijangka mengekalkan sejumlah besar kawalan, sebagai presiden partinya dan presiden Dewan Negara. – AP
