Sunday, June 23, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Ibadah haji dibayangi perang Gaza

    MEKAH, 14 JUN – Lebih sejuta jemaah haji berada di Mekah ketika ini bagi memulakan ibadat haji, dibayangi suasana suram perang Gaza dan musim panas yang meletihkan.
    Jutaan jemaah mengelilingi Kaabah di Masjidilharam Mekah, dengan ramai menyatakan kesedihan selepas perang Israel-Palestin berlanjutan lebih lapan bulan.

    “Saudara kita di sana sedang nazak dan kita menyaksikan kesengsaraan mereka,” kata Zahra Benizahra, 75, dari Maghribi kepada AFP sambil menangis. Sementara itu, jemaah Indonesia, negara yang mempunyai bilangan penduduk Islam terbesar, Belinda Elham, berkata dia berdoa setiap hari supaya apa yang berlaku di Palestin berakhir.

    Pada Isnin lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman mengeluarkan dekri untuk menjadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji ‘dari keluarga syuhada dan yang cedera dari Semenanjung Gaza’, menjadikan jumlah 2,000 jemaah Palestin untuk diberi penghormatan istimewa pada haji tahun ini, lapor akhbar rasmi Saudi Press Agency (SPA).

    Bagaimanapun, minggu lalu, menteri yang bertanggungjawab, Tawfiq al-Rabiah, memberi amaran ‘tiada aktiviti politik’ diterima dan tidak jelas bagaimana cara jemaah haji menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin.

    Ibadat haji, satu di antara perhimpunan keagamaan terbesar dunia membabitkan beberapa rukun ibadat di Mekah dan sekitarnya di barat Arab Saudi yang mengambil masa selama beberapa hari untuk diselesaikan.

    Umat Islam berjalan mengelilingi Kaabah di Masjidilharam di kota suci Arab Saudi pada 13 Jun. – AFP

    Ia satu daripada lima Rukun Islam, ia mesti dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali bagi umat Islam yang mempunyai kemampuan untuk melakukannya.

    Jemaah menuju ke Mina, sebuah lembah dikelilingi kawasan berbukit beberapa kilometer di luar Mekah, di mana mereka akan bermalam di dalam khemah berhawa dingin.

    Kemuncaknya pada esok dengan solat sepanjang hari di Gunung Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya. Ada yang menunggu selama bertahun-tahun untuk mendapat peluang menunaikan haji, dengan permit diperuntukkan oleh pihak berkuasa Saudi berdasarkan kuota untuk setiap negara. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia bantu tingkat kesediaan penyakit serantau

    CANBERRA, 21 JUN – Agensi sains kebangsaan Australia akan membantu negara-negara di Pasifik dan Asia Tenggara agar lebih bersedia menghadapi wabak penyakit, umum kerajaan...