Oleh Yusrin Junaidi –
Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban yang disambut setiap 10 hingga 13 Zulhijah, merupakan amalan sunat yang dituntut dalam Islam dengan menyembelih binatang tertentu sebagai tanda syukur seorang hamba atas nikmat yang diberikan di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dalam sama-sama menyemarakkan syiar Islam di samping menanamkan amalan bersedekah terhadap golongan fakir miskin, beberapa pertubuhan dan institusi pendidikan di negara telah mengadakan majlis ibadah korban tahun ini.
Antaranya Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH melalui ahli Jawatankuasa Musalah Ar-Raudah SEAMEO VOCTECH baru-baru ini telah mengadakan majlis ibadah korban yang berlangsung di Dewan Seri Kerna Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak ialah Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Sayidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah bagi memohon kepada Allah SWT semoga seluruh penduduk dan negara bebas daripada bahaya dan dilindungi daripada wabak merbahaya, diikuti dengan takbir raya secara berjemaah.
Sementara itu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) juga mengadakan majlis seumpamanya dengan mengorbankan tiga ekor kerbau dan seekor kambing dan sebahagian daging korban diagihkan kepada 58 orang pelajar dan warga KUPU SB serta individu yang berkeperluan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan pengagihan daging korban berkenaan ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Turut diselitkan dalam sambutan berkenaan ialah majlis penutup program Mobiliti Pelajar Serantau ke KUPU SB 2023 dengan penyerahan sijil penghargaan kepada 15 pelajar yang menyertai program mobiliti berkenaan. Pelajar-pelajar terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi daripada beberapa universiti serantau.
Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) juga tidak ketinggalan untuk memeriahkan hari kebesaran Islam itu dengan mengorbankan dua ekor kerbau pada Majlis Ibadah Korban kali ke-10 yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam (PNI) dan Kelas Bimbingan Mualaf (KBM) Daerah Brunei dan Muara bertempat di PDI, Kampung Pulaie.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging-daging korban kepada para mualaf ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Perkembangan Ugama i-Ready, Awang Mohammad Nauf al Azizi bin Mohammad Nar Isham.
Daging-daging korban tersebut diagihkan kepada fakir dan miskin daripada kalangan mualaf Daerah Brunei dan Muara yang terdiri daripada Projek Fathul Barakah, PNI dan KBM.
Turut memeriahkan sambutan ialah Persatuan WARGAMAS, yang telah mengorbankan enam ekor kerbau pada majlis yang berlangsung di ibu pejabat persatuan di Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim dan isteri Datin Hajah Zaleha binti Bujang.
Seramai 80 orang terdiri daripada golongan fakir dan miskin di Daerah Brunei dan Muara telah menerima agihan daging korban tersebut.
Majlis itu merupakan kali kedua diadakan sejak 2019 dan berharap ia dapat menjadi wadah untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan khususnya golongan fakir dan daif, ujar Presiden WARGAMAS, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don.
Pada masa sama, majlis itu juga bertujuan untuk memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi sekali gus mendapatkan rahmat dan ganjaran pahala, katanya.