Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Definisi-definisi baharu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Sektor Informal, Start-Ups, Youth-Owned Enterprises dan Women-Owned Businesses telah dibarigakan semasa sesi yang berlangsung Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) pada 11 November lalu.
Sesi pembarigaan berkenaan telah diadakan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) selaku Sekretariat Jawatankuasa Kerja Industri di bawah Jawatankuasa Pandu Koordinasi Data Kebangsaan.
Hadir semasa sesi berkenaan ialah kakitangan kementerian-kementerian dan agensi kerajaan, ahli dewan-dewan perniagaan serta pihak-pihak berkepentingan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOFE, di sini.
Pada majlis berkenaan, Pengarah di Bahagian IBE, MOFE, Allen On selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Industri dalam ucapan alu-aluannya mengongsi bahawa definisi-definisi dan data-data yang cekap serta seragam adalah penting bagi membantu dalam perancangan, penyediaan dan pelaksanaan dasar-dasar negara oleh pihak-pihak yang berkepentingan ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Dengan mengambil kira rasional untuk usaha penyelarasan di peringkat kebangsaan, satu jawatankerja industri telah ditubuhkan yang berperanan sebagai peneraju-peneraju dalam memfokuskan keperluan data untuk menyokong pembangunan dan penyediaan infrastruktur hab data industri dan mengurangkan penduaan data sektor-sektor industri di negara negara ini.
Definisi-definisi berkenaan juga penting dan meliputi proses, dasar dan perundangan dalam usaha untuk menjana iklim perniagaan yang lebih kondusif.
Beberapa definisi baharu juga telah diwujudkan seperti Sektor Informal, Start-Ups, Youth-Owned Enterprises dan Women-owned Businesses.
Sesi pembarigaan telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas II, Bahagian IBE, Dayang Nur Shuhaidah binti Arifin.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai definisi-definisi berkenaan, boleh menghubungi Bahagian IBE, MOFE melalui e-mel, ibe@mofe.gov.bn atau melalui talian 2384506.
