Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    IBTE rai hari ketiga konvokesyen

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan IBTE

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Seramai 688 graduan menerima sijil masing-masing pada hari terakhir Majlis Konvokesyen IBTE kali ke-29 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas dan dibahagikan kepada tiga sesi.

    Pada sesi pertama, seramai 99 graduan menerima Sijil tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal Brunei (HNTec) dan seramai 143 graduan menerima Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknikal Brunei (NTec) dari IBTE Sekolah Hospitaliti. Hadir menyampaikan sijil pada sesi berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Nazri bin Haji Mohd Yusof.

    Tetamu kehormat majlis tersebut juga menyempurnakan penyampaian hadiah kepada beberapa orang penerima-penerima anugerah seperi Anugerah Pelajar Terbaik kepada Dayang Nur Afiqah binti Haji Suhaimi dengan lulusan HNTec in Hospitality Operations, dan Awang Muhd Abdul Qaiyum bin Haji Rabaee dengan lulusan NTec Apprenticeship in Profesional Cookery and Services.

    Manakala, Anugerah Khas Pelajar diberikan kepada Dayang Henny Rena binti Abdullah Garisu @ Henny Rena binti Garisu dalam bidang School of Hospitality and Tourism.

    Sementara itu, pada sesi kedua di sebelah pagi pula menyaksikan penyampaian sijil kepada 247 graduan terdiri daripada lepasan IBTE Sekolah Teknologi Komunikasi dan Informasi yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengarah Strategi Tenaga Manusia, Ketua Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), Jabatan Perdana Menteri, Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 160 graduan menerima Sijil HNTec dan seramai 87 graduan menerima Sijil NTec.

    Majlis juga diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada dua orang graduan, iaitu bagi Anugerah Pelajar diberikan kepada Awang Mohd Farhan Azwar bin Awang Mohd Sharol Shaheezam (NTec in Information Technology), manakala Anugerah Khas Pelajar diberikan kepada Awang Mohd Hafiz bin Awang Mohd Bekeri (HNTec in Informational Technology).

    Di sesi sebelah petang pula menyaksikan seramai 199 graduan menerima sijil masing-masing. Daripada jumlah tersebut, seramai 36 graduan menerima Sijil NTec dari IBTE Sekolah Pengajian Tenaga dan Kejuruteraan Satelit, manakala seramai 163 graduan menerima Sijil HNTec adalah graduan dari IBTE Sekolah Perniagaan.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian ialah Timbalan Presiden, Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Pengerusi Bahagian Arkitek, Ar. Haji Abdullah bin Haji Ahmad.

    ATAS & BAWAH: Antara graduan yang diraikan pada hari terakhir majlis konvokesyen tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda