Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ibu negara meriah raikan pengantin diraja

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Detik bersejarah penuh adat istiadat telah mewarnai ibu negara hari ini di mana ribuan rakyat berpeluang menyaksikan secara langsung pasangan pengantin diraja semasa Istiadat Perarakan Pengantin Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja turut berkenan berangkat mengiringi Istiadat Perarakan Pengantin Diraja.

    Sejurus selesai Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, sekitar 12 tengah hari, pengantin diraja berangkat dari bilik khas menuju ke pintu besar Istana Nurul Iman bersama-sama Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja untuk menaiki kenderaan khas bagi Istiadat Perarakan Pengantin Diraja.

    Pengantin diraja mula diarak dari Istana Nurul Iman mengelilingi Bandar Seri Begawan dengan didahului oleh kenderaan yang membawa Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, diiringi oleh Pasukan Motosikal Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Diikuti oleh 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-Awang, Changkah yang dibawa oleh Pateh dan Damong, empat Dian Bunga, sebatang Dian Tunggal, dua orang Kanak-Kanak Pahawai Lelaki, seorang memegang Kiap, seorang memegang Pasigupan, diikuti oleh dua orang Hulubalang iaitu Hulubalang Diraja membawa Pemuras dan Karga dan Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan yang mendahului Kenaikan Pengantin Diraja, serta diikuti oleh Perhiasan Empat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan melambaikan tangan semasa perarakan di ibu negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah semasa Istiadat Perarakan Pengantin Diraja. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah berkenan melambaikan tangan kepada rakyat dan penduduk yang hadir meraikan hari bersejarah pasangan pengantin diraja berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat lebih dekat pasangan pengantin diraja. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Kemudian diikuti oleh kenderaan yang membawa dua orang Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan dua orang Dayang-Dayang yang membawa Kaskol Langguai, tujuh orang Pahawai Lelaki dan tujuh orang Pahawai Perempuan yang masing-masing membawa satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol, diikuti dengan Dian 16 yang dibawa oleh 16 Awang-Awang dan 16 Dayang-Dayang serta Awang-Awang yang memegang Alat-Alat Kebesaran Diraja iaitu 16 Pedang dan Perisai, 16 Tumbak Bendarangan dan lapan Kabok dan Panastan dengan diiringi oleh Gendang Arak-Arakan.

    Apabila rombongan berangkat tiba di kawasan berdekatan dengan Balai Bomba dan Penyelamat, Bandar Seri Begawan, perarakan didahului oleh Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pancaragam PPDB.

    Kenaikan khas pengantin diraja diiringi di sebelah kanan dan kiri oleh Pemerintah ABDB, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan seramai 14 orang pegawai kanan daripada ABDB dan PPDB.

    Sebaik sahaja rombongan perarakan pengantin diraja berangkat tiba di Istana Nurul Iman, pengantin diraja dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan seterusnya pengantin diraja dan kerabat diraja dijunjung bagi menerima junjung ziarah dan sembah tahniah daripada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, menteri-menteri kabinet, pengiran-pengiran cheteria, cucunda-cucunda Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, timbalan-timbalan menteri, pehin-pehin manteri, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman bersama isteri masing-masing.

    Pengantin diraja kemudian menerima junjung ziarah dan sembah tahniah diiringi oleh YAM Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin dengan didahului oleh 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-Awang dan dua orang Hulubalang, Hulubalang Diraja membawa Pemuras dan Karga dan Hulubalang Asgar membawa Kelasak dan Kampilan, diikuti oleh sebatang Dian Tunggal yang berjalan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia dan diiringi dua orang Kanak-Kanak Pahawai Lelaki, seorang memegang Kiap, seorang memegang Pasigupan, diikuti Perhiasan Empat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Setelah pengantin diraja menerima junjung ziarah dan sembah tahniah, YAM Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin mengadap kehadapan majlis Baginda menyembahkan bahawa kerabat diraja dan pembesar-pembesar negara menjunjung anugeraha. Setelah diperkenankan, kerabat diraja berangkat meninggalkan majlis diikuti oleh pembesar-pembesar negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...