Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    IFJ akan fail aduan ke ICC jenayah israel

    AL-BIREH, Palestin, 24 Nov – Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) akan mengadakan mesyuarat pada Selasa dan Rabu depan bagi membincangkan untuk mengemukakan aduan berkaitan jenayah Israel terhadap wartawan Palestin kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

    Setiausaha Agungnya Anthony Bellanger pada Khamis berkata jumlah wartawan yang terbunuh sejak permulaan pencerobohan di Semenanjung Gaza pada 7 Okt adalah sangat tinggi, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA). 

    “Tentera Israel telah membunuh lebih ramai wartawan dalam tempoh enam minggu lalu berbanding 20 tahun lepas,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Palestinian Journalists Syndicate (PJS) di Al-Bireh.

    Bellanger berkata beliau sentiasa teguh berdiri bersama-sama dengan rakyat Palestin dan mengecam tindakan yang dikenakan terhadap wartawan Palestin.

    Beliau mewakili 600,000 wartawan di seluruh dunia, menyeru kerajaan di seluruh dunia untuk mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan perlindungan wartawan, menuntut akauntabiliti penjenayah dan memastikan pelakunya dihukum demi menjamin keselamatan, perlindungan dan kebebasan wartawan.

    Sementara itu, ketua PJS Nasser Abu Bakr berkata wartawan Palestin sedang menghadapi perang besar-besaran dan pembunuhan beramai-ramai sedang dilancarkan terhadap mereka.

    Sejak hari pertama pencerobohan ke atas Gaza, IFJ sentiasa berhubung dengan PJS dan memberikan bantuan penting bagi memudahkan tugas wartawan di lapangan, katanya.

    Beliau turut menyeru agar Pendakwa ICC segera membuka kertas siasatan terhadap jenayah yang dilakukan ke atas wartawan Palestin.

    Kira-kira 59 wartawan dan petugas media terbunuh akibat pencerobohan berterusan Israel terhadap Semenanjung Gaza. – Bernama

    gambar freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...