Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Bagi Oktober 2022, Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun sebanyak 0.6 peratus berbanding September 2022.
Penurunan berkenaan disebabkan penurunan indeks bukan makanan sebanyak 0.8 peratus. Walau bagaimanapun, indeks makanan dan minuman ringan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus.
Perangkaan tersebut dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan menjelaskan, penurunan indeks bukan makanan adalah disebabkan pakaian dan kasut sebanyak 4 peratus, pengangkutan 2.2 peratus, dan perhubungan 1 peratus.
Penurunan bagi harga pakaian dan kasut terutamanya disebabkan oleh harga pakaian selaras dengan promosi jualan murah yang telah diadakan oleh beberapa premis di Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, penurunan bagi pengangkutan adalah disebabkan penurunan harga tiket penerbangan. Manakala, harga perhubungan menurun disebabkan penurunan harga perkhidmatan telefon dan telefaks.
Walau bagaimanapun, kenyataan turut menjelaskan bahawa harga makanan dan minuman ringan telah mencatatkan peningkatan disebabkan kenaikan harga kategori makanan seperti beras dan bijirin 0.5 peratus, buah-buahan 0.5 peratus, dan ikan dan makanan laut 0.2 peratus.
Peningkatan harga beras dan bijirin berkenaan terutamanya disumbangkan oleh kenaikan harga bahan-bahan mentah bagi kek, pastri dan biskut.
Manakala, kenaikan harga buah bukan tropikal yang diimport adalah penyumbang utama bagi peningkatan harga buah-buahan, yang antara lain disebabkan kos input pengeluaran di negara-negara pembekal dan kos pengangkutan dan logistik yang meningkat.
Di samping itu, peningkatan harga ikan dan makanan laut adalah terutamanya disumbangkan oleh kenaikan harga udang yang disebabkan oleh bekalan udang yang terjejas akibat cuaca yang tidak menentu.
JPES turut menyatakan bahawa berbanding Oktober 2021, IHP meningkat sebanyak 3.5 peratus. Peningkatan IHP ini adalah selaras dengan peningkatan harga makanan dan minuman ringan, dan harga bukan makanan masing-masing sebanyak 6.1 peratus dan 2.9 peratus.
IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.
Orang ramai yang ingin mengetahui laporan penuh IHP bagi Oktober 2022 boleh didapati di laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.