Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ikan wahoo spesies gamefish yang unggul

    Oleh Raz AS

    Ikan wahoo atau nama saintifiknya acanthocybium solandri merupakan salah satu spesies ikan daripada keluarga scombridae, sama seperti ikan makerel, tuna, bonito dan lain-lain lagi.

    Ikan yang boleh ditemui hampir di seluruh dunia di perairan laut tropika dan subtropika, termasuk di perairan negara kita ini, sangat terkenal dalam kalangan pemancing-pemancing sukan dan rekreasi serta dianggap sebagai salah satu spesies gamefish yang unggul, disebabkan pecutannya yang bertenaga dan pantas.

    Taburan ikan wahoo boleh ditemui di lautan Atlantik, Pasifik dan India. Tambahan lagi ikan ini juga dikenal pasti melakukan penghijrahan di antara lautan tersebut. Bentuk badan ikan wahoo boleh dikatakan hampir serupa dengan ikan tenggiri atau alu-alu, yang mana badannya berbentuk bulat dan panjang seumpama torpedo.

    Dengan ditutupi oleh sisik-sisik halus, bahagian belakangnya berwarna biru terang, manakala pada bahagian sisinya pula berwarna keperakan dengan taris menegak berwarna biru. Warna-warna ini akan cepat memudar sebaik sahaja ia mati.

    Seperti juga tenggiri dan alu-alu, ikan wahoo mempunyai mulut yang besar dan bergigi tajam. Ikan ini telah direkodkan boleh membesar sehingga 2.5 meter (8kaki 2 inci) panjang, dengan berat mencecah 83 kilogram (183lb). Sebagai spesies palegik, diet utama ikan ini adalah terdiri daripada ikan dan sotong.

    Secara komersialnya, ikan wahoo dianggap sebagai makanan laut yang berharga premium. Isi dagingnya yang berwarna putih dikatakan hampir sama rasanya dengan ikan makerel, menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap spesies ini.

    Walau bagaimanapun disebabkan sifatnya yang selalu berenang bersendirian dan kadang-kadang hanya dalam kumpulan yang kecil, tidak seperti ikan tuna, ikan wahoo selalunya tidak menjadi sasaran buruan, bahkan hanya tertangkap secara tidak sengaja oleh nelayan komersial.

    Bentuk badan ikan wahoo boleh dikatakan hampir serupa dengan ikan tenggiri atau alu-alu, yang mana badannya berbentuk bulat dan panjang seumpama torpedo. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda