Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iklan susu formula tiada bukti saintifik

    PARIS, 16 FEB – Sebahagian besar dakwaan berkaitan kesihatan yang digunakan untuk iklan susu formula anak damit di seluruh dunia tidak disokong oleh bukti saintifik yang menyeluruh, menurut satu kajian hari ini yang menggesa pengganti susu ibu itu dijual menggunakan pembungkusan biasa.

    Kajian itu dibuat seminggu selepas sekumpulan doktor dan saintis menggesa tindakan tegas diambil terhadap industri susu formula yang menggunakan teknik pemasaran licik dengan mengeksploitasi kebimbangan ibu bapa, malah meyakinkan mereka supaya tidak memberikan susu ibu.

    Penyusuan susu ibu diketahui mempunyai manfaat kesihatan yang besar untuk anak damit.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama selepas anak dilahirkan.

    Pensyarah kanan kehormat di Imperial College London dan pengarang kajian baharu itu, Daniel Munblit, berkata kumpulan penyelidik tidak melancarkan ‘perang’ bagi menentang susu formula yang sepatutnya menjadi pilihan bagi ibu yang tidak boleh atau memilih untuk tidak menyusukan anak mereka.

    “Bagaimanapun, kami membantah sekeras-kerasnya kaedah pemasaran susu formula anak damit yang tidak sesuai, dengan dakwaan mengelirukan yang tidak disokong oleh bukti kukuh,” katanya kepada AFP.

    Dakwaan paling biasa adalah susu formula itu menyokong perkembangan otak, menguatkan sistem imun dan secara lebih meluas membantu pertumbuhan kanak-kanak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda