Wednesday, March 19, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iktiraf peranan wanita

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Wanita di Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara dan menyumbang secara terbuka, aktif serta saksama kepada masyarakat termasuk dalam proses membuat keputusan dan telah memperoleh kedudukan kanan dalam pelbagai profesion pengurusan, kewangan, politik dan perundangan.

    Pada masa yang sama, kita juga melihat lebih ramai wanita berada di kedudukan kepimpinan dalam pelbagai industri termasuk sektor-sektor strategik seperti minyak dan gas, telekomunikasi, ICT dan perbankan.

    Kesemua perkembangan positif berkenaan harus diiktiraf, tekan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari (gambar) dalam ucaptama bertajuk Women’s Development in Brunei Darussalam, semasa Seminar Pertukaran dan Pendekatan Dasar bagi Kesaksamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Beliau menambah bahawa dalam 2021 ASEAN Gender Outlook iaitu laporan kolaboratif antara ASEAN dan UN Women telah mendapati dalam ASEAN, Negara Brunei Darussalam mempunyai nisbah tertinggi wanita dalam kedudukan pengurusan kanan dan pertengahan iaitu sebanyak 37 peratus.

    Negara Brunei Darussalam juga telah lama mengambil maklum akan peranan penting yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan sosioekonomi negara.

    Kesemua program negara seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, pekerjaan, kebajikan sosial dan pembangunan ekonomi dilaksanakan tanpa diskriminasi, katanya.

    Kepentingan pendidikan perempuan telah ditekankan sebelum Brunei mencapai kemerdekaan di mana dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Pertama bagi tempoh 1953-1958, telah menumpukan kepada pendidikan di mana termasuk kenyataan yang menyatakan bahawa mendidik seorang lelaki bererti mendidik seorang tetapi mendidik seorang perempuan bererti mendidik seluruh keluarga.

    “Ini jelas menunjukkan bahawa Brunei Darussalam mempunyai dasar yang telah lama wujud mengenali pentingnya peranan wanita dalam masa depan pembangunan negara,” ulas Hajah Nor Ashikin lagi.

    Oleh itu, wanita merupakan aset yang berharga dan penting bagi mana-mana negara ke arah membantu untuk memastikan kesejahteraan keluarga mereka, mencapai perkembangan ekonomi serta mempromosikan pembangunan sosial yang lebih besar yang akan menyumbang kepada kemakmuran negara.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelan tindakan dasar negara untuk memastikan wanita terus diberikan keutamaan tinggi dalam agenda negara.

    Pada April 2022, KKBS dengan kerjasama Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS) telah melaksanakan Kaji Selidik Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam di mana hasil daripada kaji selidik berkenaan akan memperkukuhkan Pelan Tindakan Negara bagi Wanita.

    Kaji selidik berkenaan melibatkan seramai 1,403 orang wanita dan 291 orang lelaki yang berusia 15 tahun dan ke atas dari lebih 90 buah kampung di serata 30 buah mukim di keempat-empat daerah di negara ini.

    Hajah Nor Ashikin menyatakan bahawa antara dapatan utama daripada kaji selidik berkenaan menunjukkan bahawa walaupun kemajuan luar biasa telah dibuat ke arah pembangunan wanita di negara ini, terdapat masih beberapa bidang yang memerlukan perhatian dasar bagi lebih baik menyokong wanita Brunei dalam mencapai potensi optimum serta penuh mereka.

    Beliau mengetengahkan beberapa contoh ke arah mencapai hasrat itu seperti dalam pendidik di mana terdapat peluang untuk mengukuhkan kemahiran masa hadapan dan menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam bidang STEM khususnya dalam memenuhi aspirasi negara bergerak ke arah Revolusi Industri Ke-4.

    Dari sudut pembangunan kerjaya untuk wanita, jelasnya, antara isu yang dikemukakan oleh mereka yang dikaji selidik yang boleh memberikan kesan kepada peluang pekerjaan adalah termasuk tanggungjawab domestik dan penjagaan kanak-kanak, di mana ia menekankan perlunya bagi tempat kerja yang lebih suportif serta lebih banyak fleksibiliti bagi wanita supaya mereka dapat mengurus kehidupan keluarga dan pekerjaan dengan lebih baik.

    Manakala itu, dalam domain kesihatan, sokongan kesihatan mental yang lebih kukuh bagi wanita juga merupakan satu bidang yang memerlukan lebih banyak tumpuan.

    Beliau menerangkan lanjut bahawa daripada kesemua dapatan itu, mereka sedang berusaha untuk mengemukakan cadangan dasar yang akan menyediakan asas bagi sebuah Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Wanita yang relevan, praktikal serta benar-benar mencerminkan keperluan wanita di Negara Brunei Darussalam.

    Hajah Nor Ashikin juga memetik hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2021 di mana dianggarkan bahawa wanita merangkumi 47 peratus atau hampir separuh daripada jumlah keseluruhan penduduk negara.

    Oleh itu, pembangunan dan pemerkasaan wanita adalah amat penting bagi kemakmuran dan perkembangan Negara Brunei Darussalam di mana apabila wanita di perkasa, mereka mempunyai kebebasan dan sumber untuk mengejar impian serta mencapai potensi penuh mereka.

    “Ini bukan sahaja akan memanfaatkan wanita sahaja, tetapi juga mengukuhkan keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya.”

    Beliau berkata dengan melabur dalam pendidikan wanita, mempromosikan kesaksamaan jantina di tempat kerja, menggalakkan penyertaan wanita dalam peranan pengurusan dan kepimpinan serta meningkatkan kesedaran mengenai diskriminasi, bersama, kita dapat menjana masa hadapan yang lebih cerah untuk semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda