Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Wahyu yang pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW semasa Baginda sedang bermunajat di Gua Hira ialah Surah Al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermula dengan seruan “Iqra” iaitu “Bacalah.”
“Membaca adalah asas kepada kemajuan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Wahyu pertama itu adalah rahmat dan nikmat terawal yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya,” kata Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Dakwah Daerah Temburong, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji ‘Abdul Mu’iz bin Haji Amat semasa program Malam Munajat kali ke-180 yang berlangsung secara maya dari Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata.
Menurutnya lagi, Allah SWT telah memuliakan umat manusia ini dengan ilmu yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk Allah yang lain.
Malam Munajat anjuran KHEU itu telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Pelajaran Kanan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU, Haji Mohammad Romeezy @ Abdul Qayyum bin Haji Metussin.
Turut menyemarakkan acara malam tadi itu ialah para pelajar dan tenaga akademik Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB); ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara serta warga kerja KHEU bersama keluarga serta individu yang turut hadir secara maya dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh naib johan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi dari Musolla ITQSHHB, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jufri.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh johan musabaqah dari Musolla ITQSHHB, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili.
Sejurus selesai tazkirah, majlis diteruskan dengan bacaan Zikir Maghfirah Warrahmah beramai-ramai oleh para pelajar ITQSHHB dari musolla institut tersebut.
