Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iman cacat jika tiada sifat malu

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Malu itu merupakan salah satu sifat dan akhlak Rasulullah SAW yang mesti dan patut dicontohi oleh seluruh umat manusia kerana ia mengajar untuk sentiasa menghiasi diri dengan sifat yang mulia dan terpuji.

    Selain itu, perasaan malu juga akan membuatkan seseorang itu untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak geri dan tingkah laku sama ada dari segi perkataan atau perbuatan.

    Perkara itu ditekankan oleh khatib hari ini dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Menghiasi Diri dengan Sifat Malu’ dan seterusnya menambah, sifat malu dapat menjaga dan menjauhi daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan dosa, berkelakuan buruk, hina dan tercela.

    “Sifat malu juga merupakan perhiasan sejati seseorang Muslim kerana orang yang tidak mempunyai rasa malu itu bererti imannya cacat,” tegasnya.

    Khatib seterusnya mengingatkan untuk menanamkan dalam diri dan suburkan rasa malu kerana ia merupakan sifat para nabi dan para rasul.

    “Beruntunglah mereka yang dapat menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat malu sebahagian daripada iman dan iman itu pula tempatnya syurga manakala sifat tidak malu pula merupakan perangai buruk dan tempatnya adalah neraka,” tegasnya.

    Khatib seterusnya menjelaskan di mana sifat malu itu terbahagi kepada dua jenis iaitu malu yang tercela iaitu meletakkan malu bukan pada tempatnya seperti malu untuk bertanya mengenai sesuatu ilmu yang tidak diketahui.

    “Kedua, malu yang terpuji ialah meletakkan malu pada tempatnya seperti malu kepada Allah, malu melakukan dosa dan sebagainya,” tegasnya.

    Katanya lagi, “malu terpuji itu terbahagi kepada tiga iaitu, malu kepada Allah, dengan menjauhkan diri daripada perkara yang ditegah dan dilarang oleh Allah.

    “Terdapat beberapa cara yang dapat dilakukan untuk menanamkan perasaan malu kepada Allah yang mana ini antaranya menjaga anggota badan dan pancaindera daripada melakukan maksiat, sentiasa ingat kepada kematian, menyedari segala kelemahan, dosa atau maksiat yang pernah dilakukan”.

    Apabila menyedari dan menginsafi segala dosa, kelemahan dan kekurangan diri sendiri, sudah tentu kita akan berasa malu dan segan untuk mengingkari suruhan dan perintah Allah.

    Kedua, malu kepada manusia iaitu menahan diri daripada mengganggu dan menyakiti orang lain dengan meninggalkan perbuatan buruk yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap orang lain seperti menindas atau menzalimi orang, menyebarkan fitnah, mengadu domba, menjadi batu api dan sebagainya.

    Ketiga, malu kepada diri sendiri iaitu sentiasa menjaga kehormatan diri dan menjaga diri daripada sifat tercela seperti berasa malu untuk menilai keaiban dan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri juga banyak dosa dan kesalahan.

    Adapun antara tanda kurangnya perasaan malu, apabila seseorang itu secara terang-terangan melakukan kesalahan, kemungkaran dan maksiat.

    Selain itu, antara tanda kurangnya rasa malu, orang yang melafazkan perkataan atau kata-kata yang menyakitkan perasaan dan hati orang lain dengan sengaja.

    Kedua, wanita yang berpa-kaian tapi seolah-olah tidak berpakaian dan ketiga, lelaki yang berkongsi perkara sulit mengenai rumah tangganya dengan orang lain.

    Oleh yang demikian, sama-samalah kita menghiasi diri dan keluarga dengan sifat malu kerana ia adalah benteng atau pelindung yang boleh mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar dan maksiat.

    Khatib dalam khutbahnya juga mengingatkan, azab dan seksa Allah itu amatlah pedih dan semoga kita semua sentiasa dikurniakan rahmat dan perlindungan Allah serta terhindar dan terselamat daripada azab seksaanNya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda