Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Iman kunci kemakmuran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Bagi mencapai kemakmuran, sesebuah negara akan mengatur strategi dengan menetapkan wawasan masing-masing, begitu juga dengan Negara Brunei Darussalam yang telah merangka Wawasan Brunei 2035 yang menjurus kepada tiga matlamat utama.

    “Tiga matlamat utama itu ialah rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya; rakyat yang mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi; serta ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan,” kata khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Negara yang Makmur Memerlukan Al-Mukminun Al-Qawi’.

    Khatib seterusnya menjelaskan, antara kunci utama untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan adanya orang-orang beriman yang kuat atau Al-Mukminun Al-Qawi.

    Iman merupakan syarat penting dalam mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, tetapi kesempurnaan iman itu tidak akan tercapai melainkan dengan adanya tiga perkara.

    “Tiga perkara tersebut ialah membenarkan dalam hati, mengikrarkan dengan lidah dan membenarkan dengan perbuatan yang membuktikan keimanan melalui akhlak, tingkah laku dan usaha beramal soleh,” katanya.

    Beliau menyatakan, dengan adanya ketiga-tiga perkara berkenaan, ia akan membawa kepada kehidupan yang baik, manakala, iman yang disertai dengan takwa juga akan membawa keberkatan dalam kehidupan.

    Selain mempunyai sifat bersungguh-sungguh dalam membuat amal soleh dan sabar terhadap ujian, mukmin yang kuat juga bermaksud, orang yang mempunyai pemikiran yang tajam.

    Al-Mukminun Al-Qawi itu juga bermaksud orang yang sihat dan kuat fizikal tubuh badannya agar dapat melakukan ibadat dan amalan kebaikan serta menjauhi perkara kemungkaran.

    Selain itu, orang mukmin yang mempunyai harta dan kekayaan akan mampu memberi sumbangan dalam meningkatkan taraf kehidupan seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan ekonomi dan membangun negara sama ada melalui tuntutan agama yang wajib seperti zakat atau yang lain contohnya sedekah, derma, wakaf, hibah dan sebagainya.

    Beliau menyatakan, orang mukmin yang mempunyai harta dan kekayaan lebih cenderung mendapatkan manfaat akhirat berbanding dunia.

    Ciri-ciri itu, katanya, sesuai dengan wawasan negara dalam meningkatkan kualiti kehidupan dan ekonomi negara.

    “Secara ringkasnya, orang yang dikategorikan sebagai Al-Mukminun Al-Qawi itu ialah orang beriman yang bersemangat waja dalam mencintai akhirat dengan menjadi orang berjaya dalam kehidupan di dunia, mempunyai daya fikir yang tajam, sihat dan kuat tubuh badan,” ujar khatib.

    Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, khatib turut menyeru umat Islam untuk sama-sama berazam dan berusaha supaya menjadi orang beriman yang kuat.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...