Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Bagi memeriahkan suasana masjid dan mengisi masa lapang semasa cuti persekolahan, Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Menunggol telah mengadakan peraduan azan subuh, membaca surah-surah lazim dan mewarna bagi pelajar-pelajar yang mengikuti kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid berkenaan dan kanak-kanak yang tinggal di kampung tersebut.
Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah dan sagu hati telah diadakan di Masjid Kampung Menunggol, kelmarin. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Menunggol, Awang Yusup bin Muhammad selaku tetamu khas.
Majlis diserikan dengan persembahan khas daripada johan peraduan azan, Awang Muhammad Al-Amin bin Abdul Rahim dan persembahan khas daripada finalis peraduan azan subuh peringkat senegara.
Pengiran Haji Haslin menyampaikan hadiah peserta terbaik bagi setiap peraduan, sementara itu Awang Yusup menyampaikan sagu hati kepada para peserta.
Acara diikuti dengan penyampaian cenderahati untuk tetamu kehormat majlis yang disampaikan oleh imam Masjid Kampung Menunggol.
Peraduan diadakan bagi memeriahkan lagi suasana Masjid Kampung Menunggol dan untuk menarik minat kanak-kanak agar lebih gemar berkunjung ke masjid untuk bersolat berjemaah.
Di samping itu, ia juga dihasratkan dapat mengasah bakat dan melatih peserta untuk menjadi lebih berani memperdengarkan bacaan dan azan di khalayak ramai.
